Tarikh 8 Disember 2024, tarikh yang tidak dapat dilupakan masyarakat dunia. Bashar al-Assad, yang memegang jawatan Presiden Syria sejak 2000, berada di persimpangan besar. Meskipun beliau masih yakin dapat menyekat kemaraan pejuang Hayat Tahrir al-Shams (HTS), ketika pasukan itu sudah berada di pinggiran kota, Assad mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Moscow bersama keluarganya atas nasihat sekutu rapatnya, Russia. Tindakan ini membolehkan HTS menawan Damsyik tanpa sebarang tentangan, sekali gus menamatkan pemerintahan keluarga berkenaan yang bertahan selama 53 tahun.
Pun begitu, timbul persoalan, di manakah sekutu rapatnya, Russia dan Iran?
Logik paling mudah untuk difahami adalah Russia dan Iran masing-masing menghadapi konflik dalaman yang memerlukan perhatian mereka. Russia masih sibuk dengan perang di Ukraine yang kini memasuki tahun ketiga sejak meletus pada 2022, manakala Iran sedang bergelut dengan konflik di rantau ini, termasuk serangan balas dengan Israel. Ketiadaan sekutu utama Assad membuka peluang kepada HTS untuk melancarkan serangan pantas dan menguasai Syria dalam tempoh singkat.
Namun, implikasi terbesar daripada kejatuhan Assad mungkin dirasakan oleh Iran. Syria merupakan laluan strategik bagi Iran untuk membekalkan senjata kepada sekutu-sekutunya seperti Hezbullah di Lubnan, Hamas di Palestin dan Houthi di Yaman melalui Axis of Resistance, satu pakatan yang bertujuan mengekang pengaruh Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Asia Barat.
Persoalannya kini, apakah langkah seterusnya untuk Syria pasca kejatuhan Assad? Pengalaman negara lain seperti Libya dan Mesir selepas Arab Spring pada 2011 boleh dijadikan pengajaran. Di Libya, kekosongan kuasa selepas kejatuhan Muammar Gaddafi membawa kepada perang saudara yang berpanjangan.
Di Mesir pula, kestabilan tidak dicapai apabila Mohammad Morsi, yang dipilih melalui pilihan raya, digulingkan tentera hanya selepas setahun memerintah. Keadaan ini menunjukkan menumbangkan rejim tidak semestinya membawa kepada keamanan jika struktur politik dan sosial tidak dibaik pulih.
Ketika HTS berjaya menduduki Damsyik, Israel pula menduduki Dataran Tinggi Golan dan memperluas kawasannya hingga ke zon penampan atas alasan menjaga kepentingannya. Walaupun dikecam masyarakat antarabangsa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan tindakan tersebut adalah demi memastikan keselamatan Israel.
Di peringkat domestik, kerajaan sementara Syria bakal berdepan cabaran menyatukan kumpulan-kumpulan pejuang lain yang turut menentang Assad.
Perubahan tidak berlaku dalam masa yang singkat. Syria memerlukan tempoh panjang untuk pulih daripada kehancuran akibat perang saudara yang telah berlangsung selama bertahun-tahun.-UTUSAN
HAFEZ SYIRAZI
Kangar, Perlis










