MUTAKHIR ini kita sering mendengar banyak kutipan derma atas nama agama. Ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan atas nama jihad, dalil dan nas agama.
Umum sedia maklum bahawa menderma sebahagian daripada anjuran agama Islam demi memberikan kebaikan dan kemaslahatan untuk umat Islam namun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan derma untuk tujuan yang salah dari sisi agama.
Islam memandang berat bagi mereka yang menggunakan agama bagi tujuan memperdayakan umat Islam iaitu mengambil harta dengan jalan yang salah dan lebih membimbangkan ada pihak yang menggunakan dalil untuk menghalalkan tujuan tersebut.
Pemikiran liberal dan sekular yang cuba dibawa dengan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ merupakan cara halus yang cuba dipesongkan oleh kumpulan liberal dan sekular ini dengan menunggang atas nama agama Islam.
Situasi ini memerlukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperluaskan sijil ‘halal’ mengutip derma yang disahkan kebenarannya demi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap umat Islam yang cetek ilmu agama dan kurang pemahaman terhadap sumbangan derma.
Institusi agama negeri perlu memantau aktiviti kutipan derma khususnya umat Islam agar tiada mana-mana mengulangi kesalahan sama.
Pihak yang tidak bertanggungjawab benar-benar hilang kewarasan akal dan meminggirkan nas agama atau menunggang nas atas kepentingan tertentu sehingga menyebabkan pelbagai tohmahan dilontarkan dan imej agama Islam tercalar.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian
Islam Kontemporari (ACIS) Universiti
Teknologi Mara (UiTM), cawangan Perlis










