Selesaikan isu harga padi, beras secara tuntas

Selesaikan isu harga padi, beras secara tuntas

ANTARA pesawah yang hadir untuk memohon harga lantai padi sebanyak RM1,800 dan membantah Rang Undang-Undang (RUU ) Benih Tanaman di pekarangan Wisma Tani, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU yang berkaitan dengan padi dan beras ini sudah lama berlarutan. Sudah setahun lebih isu ini bergentayangan dan menghantui kehidupan rakyat di negara ini.

Apabila bercakap tentang padi dan beras, tidak ada seorang pun yang terlepas daripadanya kerana nasi adalah makanan ruji kita. Makanan yang mesti ada di setiap dapur. Makanan yang wajib dinikmati sekurang-kurangnya sekali sehari.

Jadi apabila berlaku isu harga beras sudah tentu ramai yang merungut (kecuali golongan berada yang tidak kisah soal harga). Tetapi majoriti rakyat negara ini pasti terasa apabila berlaku kenaikan harga.

Kemudiannya, timbul pula isu kehilangan beras tempatan di pasaran. Sehingga kini pada semua kampit beras yang dijual hanya mempunyai label beras import. Jadi, mana perginya beras tempatan yang ditanam oleh para petani kita? Adakah ia semua dijual ke luar negara. Ekoran isu ini timbul cadangan untuk hanya memperkenalkan satu harga dan satu kategori beras. Ramai yang bersetuju, tetapi hingga ke hari ini belum ada keputusan mengenainya.

Beras tempatan seolah-olah ghaib macam itu sahaja. Tidak tahu ke mana dan tidak ada orang yang boleh memberi jawapan. Begitu juga dengan harga padi. Ketika bekalan kurang pengilang terutama yang dimiliki bukan bumiputera sanggup beli hingga RM1,800 satu tan, Tetapi kini mahu turun kepada harga lantai. Kalau sebelum ini boleh pada harga RJM1,800 kenapa sekarang tidak boleh?

Kenapa sebelum ini memberi harapan kepada petani dengan harga yang tinggi? Kenapa sekarang hanya pada harga lantai? Permainan apakah ini? Adakah kerana para petani tidak ada akses kepada pihak atasan maka mereka boleh diperlakukan sesuka hati? Sampai sekarang tidak ada siapa yang tampil memberikan penjelasan penuh mengenai isu ini.

Pada hal agensi dan organisasi yang terlibat dengan pengeluaran padi dan beras ini cukup banyak. Mungkin mereka selesa lena di atas kerusi empuk hingga lupa bahawa mereka sendiri sebenarnya anak petani atau pesawah. Oleh itu diharapkan kerajaan membuat keputusan yang tuntas tentang perkara ini.

Kalau semua beras mahu dilabelkan sebagai import mungkin petani tidak perlu lagi tanam padi. Bendang-bendang yang ada boleh ditukar menjadi kawasan perumahan yang mungkin boleh beri keuntungan lebih.-UTUSAN

TOK NEBAN
Pedu, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN