HARMONI Dalam Kepelbagaian telah dipilih sebagai tema dan landasan utama hala tuju Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menuju Perpaduan Dalam Kepelbagaian pada tahun 2025.
Fokus utama KPN adalah mewujudkan platform dan tapak integrasi yang dapat meningkatkan interaksi sosial antara rakyat berbilang bangsa iaitu pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program.
Sebagai usaha untuk memastikan kesinambungan kestabilan negara, konsep Negara Bangsa akan diperkenalkan bagi membentuk satu masyarakat yang bersatu padu, menghormati perbezaan dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. Negara Bangsa adalah satu usaha untuk menyatukan semua perbezaan ini di bawah payung identiti nasional. Bagi merealisasikan konsep ini, satu Konvensyen Negara Bangsa Peringkat Kebangsaan akan diadakan.
Empat ikhtiar utama KPN pada tahun ini yang menjadi keutamaan dalam agenda perpaduan negara seperti: Ikhtiar 1 – Ekosistem Perpaduan yang menjadi platform untuk memupuk interaksi yang lebih erat antara komuniti.
Ikhtiar 2 – Inisiatif Harmoni Madani sebagai usaha meningkatkan dan memperkukuhkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum serta penganut agama di negara ini.
Ikhtiar 3 – Eksplorasi Rukun Negara dengan meningkatkan penghayatan serta memperkasa nilai-nilai Rukun Negara sebagai nadi kepada perpaduan negara.
Ikhtiar 4 – Komuniti Sosio iaitun budaya bagi melahirkan rakyat Malaysia yang peka dan menghargai khazanah warisan negara terutamanya berkaitan muzium, arkib dan perpustakaan. Keempat-empat ikhtiar ini akan menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program merentasi jabatan dan agensi sepanjang tahun ini sebagai usaha KPN mewujudkan platform dan tapak integrasi yang dapat meningkatkan interaksi sosial antara rakyat berbilang bangsa.-UTUSAN
KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA
Putrajaya










