DATA daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan sebanyak 21,508 kes kemalangan tempat kerja dicatatkan sepanjang separuh pertama 2024, dengan 163 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa.
Pada masa lalu, aspek keselamatan di tempat kerja sering dipandang ringan. Sebelum penguatkuasaan undang-undang yang ketat, banyak kemalangan industri tidak direkodkan secara formal dan pekerja sering dibiarkan tanpa perlindungan sewajarnya. Insiden kilang runtuh atau kebakaran yang berlaku suatu ketika dahulu menjadi bukti bagaimana langkah pencegahan sering diabaikan, terutamanya apabila kos pelaksanaannya dianggap tinggi. Pekerja sektor pembinaan, perlombongan dan kilang sering menjadi kumpulan yang paling terdedah kepada risiko ini.
Meskipun kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan tempat kerja kini semakin meluas, ia masih belum berada pada tahap yang memuaskan. Statistik menunjukkan peningkatan dalam kes kemalangan, khususnya dalam sektor pembinaan dan perkilangan.
Sebagai contoh, insiden pada 2024 melibatkan seorang operator kilang yang maut akibat terjatuh ke dalam mesin tandan sawit jelas menunjukkan masih banyak kelemahan dalam amalan keselamatan. Selain itu, penyakit pekerjaan seperti gangguan pernafasan kronik akibat pendedahan kepada bahan kimia semakin meningkat, manakala tekanan kerja yang menjejaskan kesihatan mental juga menjadi cabaran baharu.
Di Malaysia, perundangan seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967 menjadi asas untuk memastikan keselamatan pekerja. Tanggungjawab memantau kepatuhan terletak pada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
amun begitu, penguatkuasaan yang tidak konsisten serta sikap acuh tidak acuh segelintir majikan terhadap peraturan keselamatan terus menjadi halangan utama.
Semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan tempat kerja yang selamat. Majikan bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang bebas risiko dengan memberi latihan keselamatan, menyediakan alat pelindung diri dan mematuhi semua garis panduan keselamatan.
Di pihak pekerja pula, mereka perlu mengikuti prosedur kerja dengan disiplin, serta segera melaporkan sebarang ancaman keselamatan kepada pihak berkuasa. Kerajaan pula harus menggubal dasar yang lebih tegas, mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang dan memberikan perhatian kepada pendidikan keselamatan.
Langkah penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan termasuk memberi insentif kepada majikan yang mengutamakan budaya keselamatan, seperti pengecualian cukai kepada syarikat yang melabur dalam teknologi keselamatan dan latihan pekerja. Pemeriksaan keselamatan secara berkala juga harus diwajibkan di semua sektor pekerjaan, dengan tindakan tegas dikenakan terhadap majikan yang gagal mematuhi peraturan.
Di peringkat pekerja, kempen kesedaran yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan agar mereka memahami hak dan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga keselamatan diri. Kesatuan sekerja juga boleh menjadi platform untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah tanggungjawab kolektif yang memerlukan usaha bersepadu dari semua pihak. Dengan komitmen berterusan serta pendekatan yang lebih menyeluruh, Malaysia mampu membina persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif untuk semua. Apa yang dilakukan hari ini akan menentukan kesejahteraan tenaga kerja negara pada masa depan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR dan PROFESOR MADYA DR. NURULIZA ROSLAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










