NILAI adab dan minda progresif perlu menjadi kunci kepada setiap usaha yang dilaksanakan bagi memacu dan menjayakan agenda kecemerlangan universiti.
Dalam mendepani cabaran tahun baharu 2025, satu nilai yang perlu diangkat mesti menjadi teras utama, yakni adab.
Adab bukan sekadar kesopanan, tetapi ia adalah penghormatan kita terhadap ilmu, sesama manusia, dan tanggungjawab kepada masyarakat. Selain mengukuhkan nurani dengan adab, kita juga perlu bergerak ke arah growth mindset.
Adab membentuk asas nilai diri, manakala pemikiran berkembang mendorong kita untuk sentiasa memajukan diri, belajar daripada pengalaman dan melihat cabaran sebagai peluang untuk maju.
Dalam ekosistem universiti, pemikiran berkembang bermakna warga universiti tidak takut untuk mencuba perkara baharu, belajar dari kesilapan dan berkembang melangkaui batasan diri.
Para ahli akademik perlu mengasah minda mahasiswa dan bukan sahaja menyampaikan fakta tetapi memberi mereka keberanian untuk berfikir, untuk bertanya dan untuk bercita-cita besar.
Anda adalah suluh budiman, menyuluh pelajar meneroka laluan peta yang belum dilakar, menunjuk arah, tetapi tidak memaksakan pilihan dan amanah ini menjadi amal jariah, sumbangan abadi melangkau generasi.
Mahasiswa memandang anda sebagai teladan, justeru tunjukkan bahawa kekuatan intelektual itu bermula dengan adab, dan kebijaksanaan itu lahir daripada kesabaran.
Pentadbir universiti juga perlu memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar sekali gus menjadikan semua warga kampus dapat menjalankan tugas dengan baik.
Anda adalah penjaga sistem yang memastikan dasar dan prosedur dilaksanakan dengan baik dan setiap keputusan memberi kesan besar kepada perjalanan universiti.
Sumbangan anda semua adalah nadi yang menghidupkan universiti dan menjadikannya tempat kecemerlangan ilmu dan nilai manusiawi bertemu. – UTUSAN
PROFESOR. DATUK DR. KASIM MANSOR
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS)










