Menjana minat, membina masa depan melalui STEM

Menjana minat, membina masa depan melalui STEM

SAINS, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) muncul sebagai bidang utama yang menjadi fokus dalam pendidikan abad ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendidikan abad ke-21 memerlukan pendekatan lebih inovatif dan relevan bagi membekalkan pelajar dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Dalam dunia yang didorong kemajuan teknologi menyebabkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) muncul sebagai bidang utama yang menjadi fokus dalam pendidikan abad ini.

Integrasi pendidikan STEM bukan hanya membekalkan pelajar dengan kemahiran teknikal, tetapi juga mengembangkan pemikiran kritis, kreatif dan kerjasama yang amat diperlukan dalam era digital ini.

Keperluan terhadap tenaga kerja yang terlatih dalam bidang STEM semakin meningkat di seluruh dunia. Sektor-sektor seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, bioteknologi serta sains komputer memerlukan individu yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritis.

Pendidikan STEM menyediakan pelajar dengan asas yang kukuh dalam disiplin-disiplin ini, membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan teknologi dan inovasi.

Pendidikan STEM tidak hanya melibatkan penghafalan fakta, tetapi lebih kepada pendekatan berasaskan penyelesaian masalah yang membolehkan pelajar mengasah kemahiran analitik dan kritikal.

Dengan terlibat dalam eksperimen, kajian kes dan projek, pelajar dapat belajar untuk menganalisis data, membuat keputusan berasaskan bukti serta beradaptasi dengan pelbagai situasi yang berubah-ubah.

Kemahiran berfikir kritis ini amat penting dalam dunia yang sentiasa berubah, dengan pelajar perlu sentiasa mencari penyelesaian untuk masalah yang mungkin tidak mempunyai jawapan mudah.

Bidang STEM tidak hanya melibatkan penguasaan ilmu pengetahuan, tetapi juga menekankan kepentingan kerjasama dan komunikasi yang efektif kerana melibatkan kerja berkumpulan.

Aktiviti ini memerlukan pelajar bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama. Ini mendorong mereka untuk berkomunikasi, berkongsi idea serta menghargai pandangan orang lain.

Meskipun bidang STEM menawarkan banyak peluang dan manfaat, terdapat beberapa cabaran besar dalam usaha untuk menjana minat pelajar dalam bidang ini.

Antaranya, persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan subjek ini. Banyak pelajar menganggap subjek STEM seperti matematik, fizik dan kimia sebagai mata pelajaran yang sukar dan membosankan. Persepsi ini boleh menurunkan minat pelajar untuk mendalami bidang ini dan menghalang mereka daripada mengejar kerjaya dalam STEM selain kekurangan sumber dan infrastruktur yang mencukupi, keterbatasan pengalaman praktikal.

Oleh itu, dengan usaha yang berterusan, kita dapat membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu berinovasi dan menyelesaikan masalah global dengan bijak dan kreatif.-UTUSAN

JERINA IBRAHIM
Jabatan Perdagangan
Politeknik Nilai

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN