Kawalan kendiri tunjang kejayaan mahasiswa pada 2025

Kawalan kendiri tunjang kejayaan mahasiswa pada 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin pantas dan kompleks, diyakini bahawa kemampuan mahasiswa untuk mengamalkan kawalan kendiri bakal menjadi penentu utama kejayaan mereka dalam mendepani segenap cabaran kehidupan. Tanpa kawalan kendiri, mahasiswa mudah terperangkap dalam budaya ‘segera’ seperti yang dapat kita lihat menerusi hal-hal yang sohor kini di media sosial yang terkadang bersifat hedonis semata-mata.

Mereka juga begitu mudah terleka dengan gaya hidup yang tidak mempunyai sebarang struktur atau sistem yang kukuh, sebaliknya hanya mengikut arus tanpa mahu mengambil sesebuah keputusan atau tindakan berani yang bakal memberi kebanggaan kepada diri mereka sendiri.

Sebaliknya, dengan kawalan kendiri yang kukuh, mereka dapat membuat keputusan yang lebih matang, mengutamakan tugasan yang penting, dan menjaga keseimbangan mental serta emosi. Kawalan kendiri bukan sahaja membantu mahasiswa mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga membentuk mereka sebagai individu yang mampu bertanggungjawab terhadap masa depan diri sendiri dan masyarakat.

Pertama sekali, kawalan kendiri dalam penggunaan media sosial sangat penting untuk melindungi keselamatan dan privasi diri. Tidak semua hal patut dikongsi dengan sewenang-wenangnya di sana.

Kedua, mahasiswa perlu mengetahui apakah keutamaan mereka dan mendahulukan keutamaan tersebut.

Dengan kawalan kendiri yang baik, pelajar dapat mendahulukan tugasan akademik daripada memenuhi kehendak lain yang kurang penting. Sebagai contoh, tugasan yang diberikan pensyarah harus menjadi keutamaan.

Pelajar perlu mengatur jadual mereka dengan teliti, memulakan tugasan berdasarkan tarikh akhir, dan memastikan ada kemajuan yang konsisten. Dengan menyiapkan kerja mengikut keutamaan, mahasiswa boleh mengelakkan tekanan pada saat akhir dan memberikan hasil kerja yang lebih berkualiti.

Ketiga, mahasisawa juga boleh mengurus masa dan tugasan dengan lebih cekap.

Pengurusan masa yang baik bergantung pada kawalan kendiri untuk mengekang sikap suka bertangguh. Mahasiswa harus mencari input yang relevan dengan tugasan mereka dengan pantas dan memulakan tugasan tanpa berlengah.

Menyelesaikan tugasan lebih awal bakal memberi ruang untuk mendapatkan maklum balas daripada pensyarah, yang boleh meningkatkan kualiti kerja dan membantu mereka mendapatkan markah yang lebih baik. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan prestasi akademik tetapi juga membentuk sikap profesional yang diperlukan dalam dunia pekerjaan kelak.

Keempat, mahasiswa juga mesti memberi ruang dan masa untuk refleksi diri. Dalam kesibukan kehidupan sebagai mahasiswa, ruang untuk diri sendiri adalah sangat penting.

Kawalan kendiri diperlukan untuk mengenali bila seseorang mahasiswa perlu berhenti sejenak dan memberi peluang kepada diri sendiri untuk bermuhasabah. Sesi me time sebegini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menilai kembali apa yang telah dilakukan dan merancang langkah seterusnya.

Kawalan kendiri adalah asas kepada kejayaan mahasiswa dalam mendepani cabaran 2025. Dengan kawalan kendiri, mahasiswa dapat memanfaatkan potensi diri sepenuhnya, membuat keputusan yang lebih bijak, dan mengutamakan hal-hal yang lebih penting dalam kehidupan mereka.

Lebih daripada itu, kawalan kendiri juga sebenarnya adalah satu cara bagi mahasiswa untuk memberi peluang kepada diri mereka sendiri untuk berjaya, kerana ia membolehkan mereka memperbaiki diri secara berterusan, menjaga keseimbangan hidup, dan membentuk asas yang kukuh untuk masa depan yang lebih cerah. – UTUSAN

MUHAMMAD MUKHRIZ FATHI ZAHARI
Pelajar Diploma Ukur Bahan,
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN