TAHUN 2024 telah melabuhkan tirainya. Dalam tempoh setahun ini, Alhamdulillah, Allah telah permudahkan urusan kami di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Terdapat pertambahan lebih 15 peratus sumbangan infak, berbanding tahun 2023, daripada penyumbang individu dan korporat, yang berupa asas penting kepada pelaksanaan program-program kami.
Program yang dimaksudkan termasuklah pembangunan usahawan dalam bentuk latihan perniagaan, latihan pensijilan halal serta pemberian geran kepada usahawan-usahawan nano dan mikro.
Juga pemberian bantuan-bantuan pendidikan kepada yang memerlukan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun menara gading.
Dan tidak dilupakan bantuan-bantuan kemasyarakatan antara lain kepada individu dan organisasi yang memerlukan, individiu yang menerima musibah, anak-anak yang kehilangan ketua keluarga.
Sejak awal tahun 2023, kami telah memulakan Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM atau PPKY dengan sebuah masjid dijadikan sebagai pusat nukleus bagi pembangunan dalam ketiga-tiga teras utama YAPEIM.
PPKY ini berupa satu projek selama tiga tahun bagi setiap lokasi yang terpilih bagi kami memberi khidmat dalam pembangunan ekonomi, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan di kawasan sekitar.
Setakat ini, sebanyak 10 PPKY telah dilancar di 10 buah negeri dan insya-Allah pada tahun 2025 ini, kami akan memastikan bahawa kesemua negeri di Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu PPKY setiap negeri.
Sejak tahun 1985 hingga 2024, YaPEIM telah mengagihkan sejumlah RM710 juta kepada hampir 10 juta penerima manfaat di seluruh negara.
Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM1.6 juta yang telah diluluskan oleh Lembaga Pemagang Amanah YaPEIM pada pertengahan bulan Disember 2024 bagi tujuan membantu mangsa-mangsa banjir bagi tempoh antara Disember 2024 sehingga Mac 2025.
Bagi pihak YaPEIM, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang YaPEIM, sama ada individu yang memberi infak secara bulanan melalui potongan gaji atau infaqpay dan sumbangan secara sekali bayar, jabatan dan syarikat yang bekerjasama dengan kami bagi infak bulanan warga kerja masing-masing dan organisasi yang bekerjasama dengan kami dalam pembangunan usahawan nano dan mikro secara holistik.
Kami berharap lebih ramai yang akan menjadikan YaPEIM sebagai badan pilihan infak mereka, antaranya dengan memberi sumbangan bulanan melalui platform infaqpay YaPEIM.
Lebih banyak sumbangan yang kami terima, maka lebih banyak lagi program yang dapat kami laksanakan demi pembangunan ummah.
Kami amat hargai segala amanat, pandangan, nasihat dan teguran yang diberikan kepada kami di YaPEIM selaku salah sebuah agensi agama persekutuan bagi memastikan kami terus berada di landasan yang betul dalam membangunkan yayasan ini.
Akhir kalam, saya dengan rendah hati mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua. Semoga tahun 2025 akan menjadi lebih baik untuk kita semua dari segala aspek termasuk kesihatan dan kebahagiaan. Kami juga berharap YaPEIM akan sentiasa menjadi institusi infak pilihan.-UTUSAN
AMEER ALI VALI MOHAMED
Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
(YaPEIM)










