MENURUT Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, hipertensi menjejaskan 29.2 peratus atau hampir satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia. Daripada angka ini, 11.9 peratus sebenarnya tidak tahu bahawa mereka menghidap hipertensi.
Lebih merisaukan apabila kebanyakan mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun, sekali gus menunjukkan pertambahan yang membimbangkan dalam kalangan orang muda.
Walaupun berdepan dengan risiko ketara ini, namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari status tekanan darah mereka, biasanya kerana ia tidak bergejala pada peringkat awal.
Hipertensi di Malaysia menyaksikan pertambahan kes, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 40 tahun, malah ada sebahagian pesakit yang berumur 20-an. Peralihan ini disebabkan oleh interaksi kompleks kecenderungan genetik, faktor gaya hidup dan tabiat pemakanan.
Mitos lazim bahawa hipertensi hanya melibatkan golongan berusia. Salah tanggapan ini adalah berbahaya. Ia menyebabkan ramai orang muda percaya bahawa mereka tidak berisiko, sekali gus mengakibatkan pengabaian dan diagnosis lewat.
Oleh itu, orang ramai harus menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan tahunan. Tekanan darah juga perlu diperiksa sewaktu berjumpa doktor di klinik biarpun bagi masalah kesihatan yang lain.
Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung harus memantau tekanan darah dengan kerap di rumah kerana pengesanan awal adalah kunci untuk menguruskan keadaan dengan berkesan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengawal pengambilan natrium harian mereka di bawah 2,000 miligram sehari, iaitu bersamaan dengan kira-kira satu sudu teh. Kita juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (Dash) yang direka untuk membantu mencegah atau merawat hipertensi serta membantu menurunkan paras kolesterol Lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang dikaitkan dengan penyakit jantung.
Diet Dash tertumpu kepada melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan protein tanpa lemak (daripada daging, ayam atau ikan). Adalah penting untuk memilih makanan rendah lemak tepu dan trans, yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses.
Pendekatan yang proaktif perlu diambil bagi mengurus dan mencegah hipertensi. Makan makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan pengambilan garam dan alkohol, tidak merokok, kekal aktif dengan senaman yang kerap dan mengekalkan berat badan yang ideal adalah langkah pencegahan utama.
Pencegahan bermula dengan kesedaran, pengetahuan dan tindakan. Memahami risiko dan membuat pilihan yang wajar, misalnya mengamalkan diet sihat, mengurangkan pengambilan garam dan mengekalkan gaya hidup seimbang dengan bersenam secara kerap adalah langkah utama dalam mencegah hipertensi.
Keluarga dan rakan turut memainkan peranan penting dalam menyokong penghidap hipertensi dengan mengingatkan mereka untuk memakan ubat, memantau tekanan darah dengan kerap dan menggalakkan tabiat hidup yang sihat.
Dengan memahami bahaya hipertensi dan mengambil langkah proaktif, kita boleh memerangi ancaman kesihatan yang semakin meningkat ini sekali gus dapat menjaga kesejahteraan generasi akan datang.-UTUSAN
DR. JOLENE SEE SU CHEN
Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman),
Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway










