POLEMIK penerusan dasar memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kembali memuncak baru-baru ini apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat menegaskan dasar memansuhkan UPSR dan PT3 akan diteruskan bagi mengurangkan tekanan kepada murid sekolah.
Kenyataan itu mendapat reaksi yang pelbagai dari banyak pihak sama ada yang menyokong mahupun yang menentang. Ironinya, dasar memansuhkan ujian penilaian peringkat kebangsaan bagi murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga itu telah pun menjangkau empat tahun.
Namun apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengekalkan pemansuhan tersebut, adakah keputusan itu paling minimum mudaratnya? Jika ya, mengapa sehingga hari ini, ibu bapa menyatakan kerisauannya kepada umum tentang keghairahan anak mereka dalam menuntut ilmu yang semakin menghilang?
Bagaimana pula kenyataan para pendidik tentang kualiti murid yang mereka hadapi kesan daripada pemansuhan UPSR dan PT3 yang semakin menurun? Dan mengapa pula pakar pendidikan masih membangkitkan soal kewajaran UPSR dan PT3 sedangkan dasar ini sudah berlalu hampir empat tahun?
Pastinya persoalan-persoalan ini bangkit disebabkan asasnya yang muncul dalam keadaan lapangan. Jika anak-anak bahagia dan cerdas setelah UPSR dan PT3 dimansuhkan, mengapa ibu bapa risau? Jika kualiti murid-murid lebih baik setelah UPSR dan PT3 dimansuhkan, mengapa guru mengeluh? Jika dasar memansuhkan UPSR dan PT3 ini memberi impak baik kepada sistem pendidikan negara, mengapa pakar pendidikan masih mempersoalkannya? Ini soalan yang mesti dijawab secara tuntas oleh KPM.
Kerana dengan jawapan yang meyakinkan, polemik ini akan mereda dan isu ini tidak akan berbangkit lagi. Misalnya, jika kerajaan menyediakan pelbagai intervensi untuk memperhebatkan semula kualiti murid pasca pemansuhan UPSR dan PT3, sila bentangkan data yang membuktikan keadaan intervensi yang dibuat berjaya mengukuhkan kualiti murid dan secara tidak langsung guru yang mengeluh itu tadi barangkali tersilap.
Selain itu, apabila benar KPM telah menyantuni pandangan pakar pendidikan, sila bentangkan fakta yang mereka telah usahakan untuk memastikan teguran pakar pendidikan diambil kira dan dilaksanakan dalam konteks KPM. Hakikatnya, maklum balas yang diberikan baik pihak pelbagai peringkat KPM hanya satu hala dan mengelak daripada sebarang pertembungan hujah dalam merungkai isu pemansuhan UPSR dan PT3 ini sedangkan di era Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, aspek pertembungan idea diraikan bagi menelurkan sebuah keputusan yang terbaik.
Kerisauan dan keluhan pelanggan utama KPM ini tidak disantuni dengan cermat menjadikan polemik ini semakin besar. Isu ini sekalipun bukan ditegur atau diserang oleh pesaing politik kerajaan, sebaliknya dalam kalangan mereka yang amat dekat akan menerima impak sebarang keputusan terhadap UPSR dan PT3.
Oleh kerana itu, akibat terlampau lama polemik ini bermain dalam arus masyarakat, wajarlah Perdana Menteri mula campur tangan untuk membuat keputusan yang muktamad tentang polemik ini. Pastinya keputusan muktamad Anwar kelak sedikit sebanyak akan meredakan polemik tersebut dan akan memutuskan sebarang keputusan yang paling melegakan semua pihak atas pertimbangannya sebagai ketua kerajaan.
Diyakini bahawa era UPSR yang dimulakan sendiri oleh Anwar ketika memimpin KPM lebih memahami aspirasi tersebut dan mempunyai pandangannya tersendiri bagaimana menyantuni kerisauan ibubapa, keluhan guru-guru serta pandangan pakar pendidikan. – UTUSAN
CIKGU SYAZMIR HN










