SAYA tertarik dan teruja dengan tulisan Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia, Ismail Daud bertajuk Cukup-cukuplah nak tukar kerajaan, dalam Minda Pengarang, Utusan Malaysia pada 26 November lalu. Saya juga bersetuju 100 peratus dengan pandangan penulis.
Kerajaan Perpaduan baru genap dua tahun mentadbir negara melalui gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) didukung bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di samping parti lain termasuk Parti Warisan.
Berilah peluang secukupnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemudi pentadbiran negara dengan bantuan jemaah menteri yang telah dilantik.
Dua tahun bukanlah satu tempuh yang cukup untuk melihat hasilnya. Masih ada berbaki tiga tahun untuk Kerajaan Perpaduan mengurus negara dengan hala tujunya. Apabila genap lima tahun baharulah rakyat memikirkan untuk mengekalkan kerajaan yang ada atau menggantikan dengan pentadbiran baharu. Semuanya perlu dilaksanakan melalui pilihan raya umum (PRU).
Sebenarnya rakyat sudah muak dengan ketidaksabaran ahli-ahli politik yang asyik ingin menukar kerajaan. Apakah dengan pertukaran kerajaan dalam masa terdekat dapat menjadikan seluruh rakyat hidup senang?
Tidak dinafikan kerajaan hari ini ada juga kelemahannya. Pesanan kepada wakil rakyat sama ada pembangkang ataupun kerajaan agar membuat teguran dengan baik di Dewan Rakyat. Berbahaslah secara profesional untuk kepentingan rakyat dan negara.
Tak perlu wakil rakyat terpekik terlolong di Dewan Rakyat mengganggu persidangan dengan acapkali membangkitkan peraturan Dewan sehingga keadaan gagal dikawal.
Semoga apa yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang usaha memujuk BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan baharu menemui kegagalan.
Nasihat saya kepada wakil rakyat jenguklah kawasan masing-masing, tidak kiralah pembangkang atau kerajaan. Janganlah semasa berkempen sahaja muncul tidak kira waktu, kemudian apabila menang hilang entah ke mana. Tunggu lagi lima tahun muncullah semula.-UTUSAN
CIKGU OTAI
Pahang










