Seimbangkan ekonomi dengan alam sekitar

Seimbangkan ekonomi dengan alam sekitar

MALAYSIA mampu mencapai kemajuan sekiranya mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan penglibatan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik lonjakan ekonomi, bagaimana Malaysia dapat menyeimbangkan pertumbuhan digital yang pesat dengan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti dan sosial?

Pusat data merupakan tulang belakang ekonomi digital moden, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memacu inovasi dalam pelbagai sektor seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech), dan pendidikan dalam talian. Misalnya, penubuhan hab data Microsoft di Selangor mencipta ribuan pekerjaan baharu sambil meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana.

Walau bagaimanapun, kemajuan ini tidak berlaku secara automatik. Infrastruktur yang mantap seperti bekalan elektrik stabil, sistem pengurusan air yang cekap, dasar tanah dan pembangunan yang jelas perlu diwujudkan. Tanpa kerangka dasar yang kukuh, pertumbuhan pesat ini boleh meningkatkan kos hartanah dan menekan perusahaan kecil, seterusnya melemahkan daya saing ekonomi negara.

Pusat data juga memerlukan bekalan elektrik dan air untuk menyejukkan pelayan data. Jika tidak ditangani dengan baik, pertumbuhan sektor ini boleh meningkatkan jejak karbon negara secara mendadak.

Malaysia perlu melabur dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin. Pemberian insentif cukai kepada syarikat yang menggunakan teknologi hijau boleh mendorong lebih banyak pelaburan mesra alam.

Perkembangan teknologi harus membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya kepada syarikat besar. Sering kali, pembangunan pusat data menyebabkan kenaikan harga hartanah, peningkatan kos hidup, persaingan dalam penggunaan sumber asas seperti air dan elektrik.

Malaysia juga perlu mengemas kini rangka kerja perundangan yang mengawal pembangunan teknologi. Undang-undang seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Kanun Tanah Negara (Semakan 2020) (Akta 828), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) serta Undang-Undang Kecil Bangunan 1984 perlu disemak semula agar selaras dengan keperluan ekonomi digital masa kini dan berupaya menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Proses birokrasi yang rumit sering melambatkan kelulusan pelaburan asing dan projek teknologi utama, menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa. Kerajaan perlu mempercepatkan proses pelesenan, kelulusan pembangunan tanah dan memperjelaskan bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi mengelakkan pertindihan kuasa yang melambatkan pelaksanaan projek penting.

Malaysia berada di ambang masa depan digital yang menjanjikan. Namun, potensi ini hanya boleh direalisasikan jika negara mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan penglibatan masyarakat. Kemajuan teknologi tidak seharusnya mengorbankan keindahan alam semula jadi atau menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Seperti ungkapan, ‘kemajuan tanpa kelestarian hanyalah keuntungan sementara’. Dengan mengamalkan pendekatan menyeluruh yang mengimbangkan pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial, Malaysia bukan sahaja boleh menjadi hab digital utama di Asia Pasifik tetapi juga model negara maju yang bertanggungjawab dan mampan. – UTUSAN

PROFESOR DR. NUARRUAL
HILAL MD. DAHLAN
Pusat Pengajian Undang-Undang
Universiti Utara Malaysia (UUM) &
Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN