Pesanan untuk siswazah di menara gading

Pesanan untuk siswazah di menara gading

WALAUPUN berjaya menamatkan pengajian, siswazah perlu terus terbuka untuk belajar, meneroka penyelesaian baharu dan menimba pengalaman dari pelbagai sudut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH kepada semua siswazah kerana berpeluang untuk melanjutkan pengajian dan akhirnya berjaya menggenggam kejayaan. 

Anda adalah kelompok pelajar bertuah kerana dipilih dan dibimbing oleh sekumpulan tenaga kerja yang memiliki pelbagai kelayakan, berpengalaman serta berkemahiran dalam menjana modal insan dinamik, inovatif dan holistik. 

Kemudahan akademik, fasiliti dan kebajikan pelajar yang disediakan oleh pihak kerajaan juga menjadi salah satu pemangkin kejayaan.

Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) turut mengambil inisiatif untuk menawarkan program pengajian berimpak tinggi, multidisiplin dan  berfokuskan kemenjadian pelajar. Diharapkan proses pembelajaran tersebut memberikan pengalaman bermakna sebagai persediaan menghadapi cabaran dan membina jati diri. Matlamat akhirnya ialah untuk melahirkan siswazah kompeten yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. 

Siswazah perlu terus terbuka untuk belajar, meneroka penyelesaian baharu dan menimba pengalaman dari pelbagai sudut. Komitmen kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti standard antarabangsa berasaskan ekuiti diterjemahkan melalui 10 lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM) (PT). 

Modal insan adalah aset paling  berharga  dan  signifikan kepada pengekalan  kompetitif  serta  kelangsungan  negara. Aset tersebut perlu diurus dengan bijak dan berkesan agar generasi muda menjadi peneraju kesinambungan negara pada masa hadapan. 

Program akademik yang diikuti pastinya memenuhi keperluan pemegang taruh dan budaya pembelajaran sepanjang hayat perlu diteruskan. Perkasakan bakat dan gunakan ruang, peluang dan kesempatan untuk belajar ilmu-ilmu baharu serta kepimpinan di luar alam pekerjaan.

Teruskan budaya bekerja secara berpasukan. Potensi diri yang dikenal pasti boleh digunakan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lanjutan. Tetapkan matlamat dalam kehidupan dan sentiasa berfikiran terbuka untuk menerima teguran walaupun pahit. 

Gunakan ilmu literasi kewangan dan kehidupan berjimat-cermat di alam kampus untuk masa hadapan. Ini kerana bagi yang memperoleh pinjaman pendidikan anda mempunyai tanggungjawab untuk melangsaikan pembayaran kelak.

Perlu difahami bahawa anda akan kembali ke pangkuan masyarakat. Justeru itu, bina jaringan kerjasama bersama komuniti kerana khidmat anda diperlukan oleh masyarakat. Terapkan kepatuhan kepada suruhan Tuhan dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Sentiasa berusaha untuk menjaga nama baik keluarga. Bermuhasabah dan hadiahkan kejayaan untuk ibu bapa serta untuk diri  anda sendiri. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA

Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian,

Jabatan Tamadun dan Falsafah,

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN