SEORANG peguam yang pernah menjadi ahli politik, mempersoalkan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memahami Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mendakwa perdana menteri mengelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai mengenai fungsi Lembaga Pengampunan dan peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di dalamnya.
Beliau berkata, situasi YDPA boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri hanya terletak dalam Perkara 40(2) (a), (b) dan (c), yang tidak termasuk keputusan Lembaga Pengampunan.
Tambah beliau, mengikut Perkara 40 (1), YDPA mesti bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan, justeru sidang Lembaga Pengampunan boleh dipersoalkan di Parlimen.
Beliau juga menyeru perdana menteri berhenti berlindung di belakang YDPA dan mendakwa bahawa YDPA hanya boleh membuat semua keputusan berkaitan proses pengampunan atas nasihat Perdana Menteri.
Dakwaan-dakwaan peguam ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai pemahaman yang sangat cetek tentang Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 40 (1) yang dipetik peguam ini menyebut: “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, YDPA hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini”.
Perkara 40 (2) yang dipetik peguam ini pula menyebut: “YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu :
(a) melantik seorang perdana menteri,
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen,
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.”
Dakwaan bahawa YDPA boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri hanya terletak dalam Perkara 40(2) (a), (b) dan (c) tidak betul. Ini kerana di hujung Perkara 40(2) ini ada disebut “dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.”
Tidak perlu pun sesiapa menjadi seorang peguam untuk faham bahawa selain dalam Perkara 40(2) (a), (b) dan (c), YDPA masih boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Orang yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang juga boleh faham bahawa Perkara 40 (1) tidak akan terpakai untuk Lembaga Pengampunan jika dalam Perkara mengenainya ada peruntukan selainnya kerana Perkara 40 (1) ada mempunyai ayat pengecualian berbunyi “kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini.”
Peruntukan mengenai kuasa pengampunan YDPA dalam Perkara 42 (1) adalah berbunyi: “YDPA berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya”
Tidak ada dalam mana-mana peruntukan Perkara 42 yang menyebut bahawa YDPA mesti bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan seperti didakwa oleh peguam ini.
Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) dalam kes Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385 yang menyatakan peranan Lembaga Pengampunan adalah terhad kepada memberikan nasihat kepada YDPA tetapi YDPA sendiri yang mempunyai kuasa eksekutif berbentuk budi bicara (a high prerogative of mercy).
Dalam kes Superintendent of Pudu Prison & Ors lwn. Sim Kie Chon [1986] 1 MLJ 494, Mahkamah Agung sekali lagi memutuskan bahawa peranan Lembaga Pengampunan adalah berbentuk nasihat dan pembuat keputusan sebenar dalam urusan pengampunan adalah YDPA.
Dalam kes Juraimi Husin lwn. Pardons Board, State of Pahang & Ors [2002] 4 MLJ 529, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kuasa budi bicara pengampunan, termasuk untuk memberi pengampunan diraja, tidak boleh dibawa untuk dibuat semakan kehakiman.
Lebih mutakhir, dalam kes Anwar Ibrahim lwn. Mohd Khairul Azam Abdul Aziz & Another Appeal, Mahkamah Rayuan pada 9 Januari 2023 memutuskan:
“(22) Tinjauan kami terhadap Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa kuasa pengampunan dan belas ihsan YDPA adalah luas dan merangkumi kedua-dua sabitan dan hukuman.
(48) Kuasa untuk memberikan pengampunan hanya boleh dilaksanakan secara peribadi dan eksklusif oleh YDPA dan pelaksanaan kuasa tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah.
(55) Prerogatif belas ihsan hanya boleh dilaksanakan oleh YDPA dan tidak termasuk dalam bidang kuasa penyeliaan mahkamah.”
Apakah peguam ini membutakan mata tentang kewujudan kes-kes duluan yang mengikat (binding precedents) di Mahkamah Persekutuan ini sebelum melemparkan tuduhan melulu terhadap perdana menteri, kononnya tidak memahami Perlembagaan Persekutuan serta mengelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai mengenai fungsi Lembaga Pengampunan dan peranan YDPA di dalamnya?
Tindakan peguam ini yang secara tiba-tiba beralih kepada memperjuangkan tahanan rumah untuk Datuk Seri Najib Razak adalah satu hipokrasi yang jelas. Sebagai seorang yang sebelum ini lantang mengecam Najib dalam isu skandal 1MDB, langkah ini mencerminkan agenda politik murahan yang bertentangan dengan prinsip keadilan yang sering dilaungkannya.
Ketika beliau memegang jawatan penting membanteras rasuah, beliau berada di barisan hadapan mengecam Najib sebagai simbol salah guna kuasa dan rasuah.
Namun kini, dengan memperjuangkan isu tahanan rumah untuk Najib, beliau menunjukkan sikap bertentangan yang mencalar kredibiliti beliau sebagai pejuang integriti. Adakah ini tanda bahawa beliau kini lebih mementingkan populariti politik daripada berpegang kepada prinsip keadilan?-UTUSAN
Maka benarlah kata pepatah Melayu, ‘telunjuk lurus kelingking berkait’.
DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin ialah Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.










