MALAYSIA Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCECRL) secara rasmi telah menandatangani perjanjian usaha sama bagi pengoperasian dan penyelenggaraan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) baru-baru ini. Pada majlis yang sama turut dimaklumkan bahawa 80 peratus tenaga kerja fasa operasi dan penyelenggaraan ECRL adalah terdiri daripada pekerja tempatan.
Sebelum ini ketika projek ECRL mula-mula dilancarkan, pihak MRL menyasarkan 70 peratus tenaga kerja ketika fasa pembinaan adalah terdiri daripada rakyat tempatan. Ketika sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada bulan November lepas, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat memaklumkan bahawa setakat September 2024, jumlah pekerja tempatan yang terlibat dalam projek pembinaan ECRL adalah seramai 5,034 daripada keseluruhan 21,716 jumlah pekerja.
Peratusannya hanya 23 peratus jauh daripada sasaran 70 peratus pengambilan pekerja tempatan. Dikhuatiri perkara ini akan berulang lagi ketika fasa operasi jika syarikat usaha sama pengendali ECRL mengambil jalan mudah mendapatkan pekerja asing daripada syarikat agensi pembekal tenaga kerja seperti yang berlaku sebelum ini.
Pihak MRL diharap dapat menimbangkan agar bilangan pekerja tempatan dapat ditingkatkan lagi sehingga 100 peratus memandangkan selama ini negara kita sudah berpengalaman dalam pengoperasian sistem pengangkutan rel dengan mengambil kira Keretapi Tanah Melayu Berhad, Rapid Rail Sdn Bhd dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) sebagai contoh.
Malah, sudah beberapa kali tenaga kerja daripada Rapid Rail Sdn Bhd dan ERL dipinjamkan ke luar negara untuk membantu melancarkan operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro (Makkah Metro) ketika musim haji. Ternyata negara kita mempunyai keupayaan untuk melahirkan tenaga kerja bertaraf global daripada kalangan rakyat tempatan dalam sektor pengangkutan rel.
Fasa operasi dan penyelenggaraan ECRL bakal mewujudkan pelbagai jawatan peringkat pengurusan dan sokongan seperti jawatan sebagai pengurus stesen, penyelia bangunan, pegawai khidmat pelanggan, hinggalah kepada juruteknik penyelenggaraan landasan, khidmat kawalan keselamatan dan pembersihan yang boleh diisi oleh penduduk setempat dan dari daerah berdekatan. Limpahan peluang pekerjaan ini bakal memberi manfaat kepada ribuan pekerja tempatan di Pantai Timur dan Selangor yang membantu ekonomi domestik hasil perbelanjaan wang gaji di dalam negara sendiri.
Dengan adanya ECRL, rakyat Pantai Timur khususnya golongan belia di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain demi mendapatkan jawatan dalam sektor pengangkutan rel yang selama ini tertumpu di Lembah Klang dan Pantai Barat. – UTUSAN
M.FAISAL
Kuala Lumpur










