ASKAR Wataniah (AW) sebagai komponen simpanan Tentera Darat penting, yang mana dalam doktrin pertahanan negara ia merupakan barisan kedua selepas angkatan tetap.
Anggota simpanan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang memainkan peranan sebagai pasukan sokongan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam situasi darurat.
Visi Kementerian Pertahanan adalah membangun AW yang kredibel, seimbang serta mencapai nisbah 1:1 dengan angkatan tetap.
Misi nasional ini bakal dimainkan oleh UiTM menerusi penawaran program kokurikulum AW berjam kredit di setiap kampus pusat pengajian tinggi awam di seluruh negara.
Rancangan ini yang dikenali sebagai Program Wataniah PLAS UiTM dirangka sejak tiga tahun lalu sebagai usaha menyokong Dasar Pertahanan Negara.
Bagi mengelakkan kekeliruan, Program Wataniah PLAS UiTM berbeza dengan Pasukan Latihan Pegawai Simpan (PALAPES) sedia ada di UiTM dari sudut penglibatan pelajar serta pengurusannya.
PALAPES hanya terbuka kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk ditauliahkan sebagai pegawai dalam pasukan simpanan.
Sebaliknya, Program Wataniah PLAS UiTM melibatkan siswa-siswi peringkat pengajian diploma sebagai program kokurikulum beruniform berjam kredit baharu.
Iltizam ini memerlukan sokongan pengurusan universiti yang kuat dalam melaksanakan program tersebut.
Dengan kemudahan dan prasarana lengkap di semua kampusnya, Pusat Tanggungjawab PALAPES UiTM Malaysia mampu untuk melaksanakan program ini. – UTUSAN
ZAKI SALLEH
Kuala Lumpur










