Perangi buli habis-habisan

Perangi buli habis-habisan

LAKSANA pendekatan menyeluruh dan tegas dalam menangani budaya buli, termasuk kajian semula dasar sedia ada, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKATAN Muda Harapan (AMH) menyokong penuh titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memandang serius insiden buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

AMH mendukung titah Baginda bahawa budaya buli tidak hanya menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi dan integriti negara.

AMH menyeru pihak kerajaan untuk melaksanakan pendekatan menyeluruh dan tegas dalam menangani budaya buli, termasuk kajian semula dasar sedia ada, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Penglibatan badan bukan kerajaan dan persatuan ibu bapa perlu dilibatkan kerana institusi keluarga juga perlu diperkasakan untuk asas pembentukan moral anak-anak yang lebih baik.

Sebagai langkah tambahan, AMH menggesa kerajaan untuk memperketat kawalan bahan media atau hiburan berunsur keganasan yang kini menjadi kebimbangan para ibu bapa seluruh negara. Ia berpotensi menjadikan generasi muda kurang sensitif sekaligus menormalisasikan tindakan agresif, dan menyukarkan mereka membezakan antara fiksyen dan realiti. Anak-anak muda kita akan terpengaruh secara tidak sedar apabila banyak menonton tayangan-tayangan ganas tersebut.

Kajian mendapati kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku agresif, terutama apabila pelaku digambarkan sebagai hero dan keganasan dipersembahkan tanpa akibat, yang akhirnya menyumbang kepada normalisasi budaya agresif dan berisiko berkembang menjadi tingkah laku buli di institusi pendidikan.

Oleh yang demikian, jika tidak ditangani budaya buli adalah cerminan kegagalan kita sebagai masyarakat untuk membentuk generasi yang bertanggungjawab, empati, dan bermoral tinggi. AMH berdiri teguh menyokong usaha semua pihak untuk membanteras budaya ini dan memastikan institusi pendidikan di semua peringkat menjadi tempat yang selamat untuk membentuk masa depan negara. – UTUSAN

AMMAR ATAN
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN