ALLAH SWT mengkhabarkan kepada hamba-Nya tentang kisah mereka yang diangkat menjadi pemimpin yang adil dengan dilimpahkan kebijaksanaan dan rezeki luar biasa.
Mengambil ibrah daripada kisah Nabi Yusuf yang pernah dipenjara oleh pemerintah Mesir ketika itu disebabkan fitnah terhadapnya hanya kerana memiliki wajah tampan.
Ketampanan Nabi Yusuf diakui wanita sebagai ‘malaikat’ seperti yang diungkapkan di dalam al-Quran. Begitulah kehebatan Allah menjadikan rupa paras Nabi Yusuf sebahagian dugaan buatnya.
Kisah Nabi Yusuf yang dipenjarakan sehinggalah dilantik menjadi menteri oleh raja Mesir ketika berjaya menyelamatkan rakyat Mesir daripada musibah kekurangan makanan melalui kebijaksanaan baginda.
Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud “Setelah berjumpa dengan Yusuf, berkatalah “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya) tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.
Yusuf menjawab “ Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).” (Surah Yusuf, ayat 46-49).
Pengajaran besar daripada kisah ini ialah agar umat Islam sentiasa yakin dan percaya bahawa kepemimpinan yang adil, soleh serta benar akan sentiasa dipayungi segala bantuan dan pertolongan Allah ketimbang pemimpin yang jahat dan sentiasa menyebarkan fitnah atau kebencian.
Allah mengkhabarkan kisah ini agar seluruh ummah sentiasa yakin akan kekuatan luar biasa pemimpin yang adil lagi soleh.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










