Pelepasan cukai SSPN strategi bijak untuk masa depan pendidikan

Pelepasan cukai SSPN strategi bijak untuk masa depan pendidikan

DENGAN adanya pelepasan cukai, ibu bapa mempunyai motivasi tambahan untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan mula menyimpan seawal mungkin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN kerajaan berhubung pelepasan cukai individu ke atas simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi  merupakan satu langkah yang sangat strategik dalam membantu ibu bapa merancang dan menyimpan untuk pendidikan tinggi anak-anak. 

Dengan kos pengajian tinggi yang semakin meningkat, insentif ini menawarkan beberapa kekuatan utama yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga dan negara.

Pelepasan cukai ini secara langsung mengurangkan beban kewangan ibu bapa. Dengan adanya pelepasan cukai, ibu bapa dapat menikmati pengurangan dalam jumlah cukai yang perlu dibayar, yang seterusnya meningkatkan jumlah wang yang boleh disimpan atau dibelanjakan untuk keperluan lain. Ini amat penting dalam konteks kos pengajian tinggi, yang mana setiap ringgit yang dijimatkan boleh digunakan untuk menampung yuran pengajian, buku, dan perbelanjaan lain yang berkaitan.

Dengan adanya pelepasan cukai, ibu bapa mempunyai motivasi tambahan untuk membuka akaun SSPN dan mula menyimpan seawal mungkin. Tabungan awal ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan apabila anak-anak memasuki institusi pengajian tinggi, tetapi juga membolehkan simpanan tersebut berkembang melalui faedah yang diperoleh dari masa ke masa.

Pada masa yang sama, insentif ini meningkatkan kesedaran kewangan. Ibu bapa yakan lebih cenderung untuk memahami kepentingan pengurusan kewangan yang baik. Ini boleh membawa kepada amalan kewangan yang lebih bijak dan berdisiplin dalam jangka panjang.

Dengan lebih ramai ibu bapa yang mampu menyimpan untuk pendidikan tinggi anak-anak, lebih banyak pelajar akan mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tersebut, tetapi juga kepada negara secara keseluruhan. Pendidikan tinggi yang lebih meluas boleh meningkatkan kualiti tenaga kerja dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Walaupun insentif ini mempunyai banyak kekuatan tetapi tidak semua ibu bapa sedar kewujudan atau manfaat insentif ini. Oleh itu, kempen kesedaran yang lebih agresif dan meluas perlu dijalankan untuk memastikan lebih ramai ibu bapa mendapat maklumat mengenai pelepasan cukai SSPN.

Walaupun pelepasan cukai adalah satu insentif yang baik, keluarga berpendapatan rendah mungkin memerlukan sokongan tambahan seperti geran padanan atau insentif kewangan lain untuk membantu mereka menyimpan. Langkah-langkah ini boleh dipertimbangkan untuk memastikan insentif ini benar-benar inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

DR. CHEAH CHAN FATT

Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC)

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN