NAFAS perlukan pengurusan lebih berwibawa

NAFAS perlukan pengurusan lebih berwibawa

REFORMASI mendalam diperlukan dalam struktur kepimpinan NAFAS, terutamanya melibatkan pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang sering kali dipengaruhi oleh agenda politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MTEM menyokong NAFAS sebagai badan yang dipunyai oleh ahli-ahli peladang untuk membekalkan baja kerana hasil daripada perniagaan ini akan dapat dinikmati oleh ahli pesawah sebagai dividen. Namun sebagai langkah mengawal ketirisan, inisiatif ini bergantung kepada tatakelola yang cekap dan pengurusan yang bebas daripada pengaruh politik. Pengeluaran baja yang berkesan memerlukan pendekatan yang terancang dan pelaksanaan oleh mereka yang benar-benar kompeten serta memahami keperluan tempatan.

Penggantungan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang bermula 1 November 2024 merupakan petanda jelas tentang krisis tadbir urus dalam organisasi ini. MTEM menegaskan bahawa reformasi mendalam diperlukan dalam struktur kepimpinan NAFAS, terutamanya melibatkan pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang sering kali dipengaruhi oleh agenda politik. MTEM menuntut agar pelantikan ini dilakukan secara telus dan berdasarkan merit, bagi memastikan individu yang terpilih benar-benar berwibawa untuk menjaga kepentingan ahli peladang, bukan sekadar boneka politik. Hak pesawah untuk menerima subsidi baja adalah hak yang tidak boleh dikompromi.

MTEM mengecam ketirisan dalam program subsidi baja yang telah sekian lama berlaku, di mana bantuan yang sepatutnya diberikan kepada golongan pesawah sering diselewengkan oleh pihak berkepentingan. Kami mendesak agar kawalan yang lebih ketat dilaksanakan supaya bantuan ini sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, tanpa berlaku manipulasi atau penjualan di pasaran terbuka. Selain itu, kualiti baja subsidi serta kelewatan penghantaran perlu diberi perhatian segera. Kegagalan dalam penyampaian ini menyebabkan ramai pesawah menanggung kerugian dan terpaksa membeli baja pada harga komersial, yang akhirnya meningkatkan kos pengeluaran.

MTEM menyeru pihak berkaitan agar mengambil tindakan pantas dan memastikan baja yang disalurkan adalah berkualiti serta sampai tepat pada waktunya. MTEM menyokong strategi NAFAS untuk menghasilkan baja sendiri sebagai langkah mengawal kos dan mengurangkan ketirisan. Namun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada tatakelola yang cekap dan pengurusan yang bebas daripada pengaruh politik. Pengeluaran baja yang berkesan memerlukan pendekatan yang terancang dan pelaksanaan oleh mereka yang benar-benar kompeten serta memahami keperluan tempatan.

Kos input pertanian yang meningkat seperti baja, racun perosak, dan tenaga kerja semakin membebankan pesawah, sementara harga padi kekal dikawal rendah demi melindungi pengguna. Situasi ini menambah tekanan kepada pesawah yang sudah pun bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

MTEM menggesa agar harga minimum padi dikaji semula, supaya ia lebih mencerminkan kos pengeluaran yang sebenar. Tanpa tindakan ini, banyak pesawah akan terus mengalami kerugian, yang akhirnya menjejaskan keselamatan makanan negara. MTEM percaya bahawa masa depan sektor pertanian bergantung kepada reformasi menyeluruh yang berani dan tindakan tegas menentang ketirisan.

Kami berkomitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam memastikan kelangsungan industri pertanian yang bebas dari rasuah dan penuh integriti. Hanya dengan langkah ini kita dapat membina persekitaran yang adil, telus, dan berdaya saing untuk semua, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Kita tidak mahu keadaan keluar mulut buaya masuk mulut harimau di mana ada pihak yang memberi solusi menguntungkan pihak tertentu sahaja. – UTUSAN

AHMAD YAZID OTHMAN
Felo Kanan MTEM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN