KERJAYA kejururawatan di Malaysia berkembang dengan pesat sejak penubuhan sekolah kejururawatan pertama pada 1946 di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Seiring dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam bidang perubatan, jururawat memainkan peranan yang semakin penting dalam memastikan kualiti penjagaan kesihatan berada pada tahap tinggi. Namun, persoalan mengenai peranan dan impak jururawat berijazah dalam meningkatkan kualiti rawatan terus menjadi topik perbincangan hangat.
Di peringkat global, pelbagai kajian dijalankan untuk menilai keberkesanan jururawat berijazah dan hasil kajian ini mula mencetuskan perdebatan tentang kepentingan laluan pendidikan dalam profesyen kejururawatan.
Di Malaysia, persoalan ini menjadi semakin relevan dengan tumpuan Kementerian Kesihatan terhadap pembangunan modal insan yang berkualiti dalam sektor kesihatan.
Pada 2010, Institut Perubatan (IOM) (kini Akademi Perubatan Kebangsaan), Amerika Syarikat (AS), mengunjurkan peningkatan peratusan jururawat berijazah kepada 80 peratus menjelang 2020. Cadangan ini bersandarkan laluan pendidikan yang berbeza dalam menjadi jururawat berdaftar di AS iaitu diploma, ijazah bersekutu dan ijazah sarjana muda.
Buat pertama kalinya pada 2003, hasil kajian sekumpulan penyelidik dari University of Pennsylvania, Philadelphia, menunjukkan kadar kematian pesakit selepas pembedahan dapat dikurangkan bila mana dirawat jururawat berijazah. Kajian ini disokong kajian-kajian lain yang dilakukan di seluruh dunia sejak lebih 20 tahun lalu termasuklah kajian yang dijalankan di 665 wad di AS, 300 buah hospital di Eropah, 14 buah hospital pengajar di Korea Selatan, 49 buah hospital di Kanada dan tujuh buah hospital di Belgium.
Sebagai contoh, satu kajian dilakukan di 519 buah hospital di AS untuk menilai kesan pengambilan jururawat berijazah dalam memberikan impak kepada penjagaan pesakit. Penyelidik membandingkan data kajian pada 2006 dan 2016 untuk menentukan sama ada pengambilan jururawat berijazah boleh meningkatkan kualiti jagaan rawatan di hospital tersebut. Data yang diambil kira adalah daripada soal selidik dalam kalangan jururawat, Tinjauan Tahunan Persatuan Hospital Amerika dan data tuntutan pentadbiran pesakit daripada agensi negeri di California, Florida, New Jersey serta Pennsylvania.
Dilaporkan nisbah purata jururawat berijazah di hospital tersebut meningkat daripada 41 peratus kepada 56 peratus dalam tempoh 10 tahun. Peningkatan ini terbukti berjaya mengurangkan kadar kematian, merendahkan kadar kemasukan semula ke hospital dan memendekkan tempoh penginapan di hospital.
Secara keseluruhannya, bukti yang kukuh daripada pelbagai kajian antarabangsa menunjukkan pengambilan jururawat berijazah dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan dengan ketara.
Hasil kajian ini selaras dengan hasrat Malaysia untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan melalui pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Dalam usaha untuk meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini, langkah ke arah meningkatkan bilangan jururawat berijazah di hospital dan klinik merupakan satu pendekatan yang wajar dipuji serta terus dipertingkatkan penjawatannya dari semasa ke semasa.
Dengan sokongan yang berterusan daripada pihak kerajaan, pemegang taruh serta institusi pendidikan kesihatan, impian untuk memberikan penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti dapat direalisasikan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SITI ROSHAIDAI MOHD. ARIFIN
Ketua Penyelidik Kuliyyah Kejururawatan
Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM)
Kampus Indera Mahkota, Pahang










