DALAM era digital hari ini, komedi semakin berkembang dengan pelbagai bentuk, dari sketsa pendek yang lucu hingga jenaka berdurasi panjang berkait isu semasa. Namun, satu perkara menarik perhatian, kenapa majoriti penonton lebih memilih lawak yang mudah difahami dan ringan berbanding sarat dengan mesej mendalam atau isu berpendidikan?
Profesor Komunikasi dari Universiti Malaya, Dr. Shahrul Ridzwan menyatakan penonton moden mempunyai keperluan berbeza. Hari ini, orang mahu hiburan yang cepat dan melepaskan tekanan. Di sinilah lawak ringan mendapat tempat. Namun, lawak yang lebih mendalam masih mempunyai peminat, terutama dalam kalangan penonton yang ingin mendapatkan sesuatu yang lebih ‘berisi’.
Penggiat seni komedi dapat memanfaatkan pendekatan yang menyampaikan mesej mendalam melalui jenaka ringan. Lawak jenis ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membuka ruang untuk penonton berfikir dengan lebih kritis selepas ketawa reda. Kombinasi ini dapat menarik minat penonton yang mahukan hiburan segera dan juga menghargai isi kandungan dengan lebih berfikir.
Secara keseluruhannya, sama ada lawak tidak bijak atau ‘berisi’, apa yang penting adalah cara penyampaiannya. Apabila pelawak mampu menyampaikan isu dengan cara yang menghibur tetapi tetap mempunyai mesej bermakna, mereka bukan sahaja mencipta jenaka yang menghiburkan tetapi juga menjadikan lawak sebagai medium penyampaian yang relevan dan berkesan.
Dalam perkembangan lain, bagaimana pertandingan lawak menampilkan juri dari kalangan selebriti tetapi bukan pelawak profesional. Situasi ini mungkin menyebabkan penghakiman yang kurang tepat kerana lawak bukan sekadar membuat orang ketawa tetapi melibatkan teknik, masa, kreativiti dan kefahaman yang mendalam tentang seni komedi.
Ada beberapa isu dan pandangan yang timbul apabila juri tidak mempunyai latar belakang dalam bidang komedi, antaranya mereka mungkin tidak mempunyai pengetahuan dalam hal ini. Tanpa pengalaman, mereka mungkin kurang arif untuk menilai elemen yang membuat sesuatu jenaka berkesan atau tidak, seterusnya memberi penilaian kurang tepat.
Secara keseluruhannya, pelantikan juri yang bukan daripada kalangan pelawak sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Walaupun ia boleh menarik penonton dan menjadikan program lebih popular namun, kekurangan kepakaran dalam komedi boleh menjejaskan penilaian yang adil serta konstruktif.
Bagi memastikan keseimbangan, mungkin wajar untuk menggabungkan artis popular dengan pelawak profesional sebagai juri, agar dapat menawarkan perspektif yang lebih pelbagai dan komprehensif. Namun di ketika ini, lawak ringan dapat menarik hati penonton jika dibandingkan dengan kandungan yang ‘berisi’ dan bermakna.-UTUSAN
SAMIHA MOHD SALLEH
kota tinggi, johor










