Kerap kali kita mendengar keluhan masyarakat sama ada jemaah setempat mahupun jemaah musafir berkaitan isu-isu asas institusi masjid. Antara yang kerap diperkatakan berkaitan tandas kotor/tidak diselenggara dengan baik, pintu tandas rosak, ruang solat/karpet berpasir dan berbau, kipas berhabuk, siling bersawang, kain sarung dan telekung berbau hapak, persekitaran tidak diurus dengan baik termasuk pengurusan sampah, masjid tidak cakna hal-hal kebajikan jemaah sekitar, persoalan pengurusan kewangan dan banyak lagi.
Tidak kurang juga kajian-kajian berkaitan yang menyentuh isu kualiti urus tadbir, hala tuju institusi masjid, kualiti program mahupun aktiviti dan kualiti atau kriteria pelantikan ahli jawatankuasa masjid. Ini tidak lagi menyentuh perkara yang tidak boleh dikompromi iaitu berkaitan imam tidak hadir bertugas atau terlewat hadir ke masjid.
Diakui banyak faktor yang terlibat dalam hal ini, walau bagaimanapun saya lebih cenderung menekankan aspek kegagalan dan kurang keupayaan ahli jawatankuasa merangka pelan perancangan strategik sama ada jangka pendek, sederhana atau jangka panjang. Tidak kurang juga aspek kegagalan ahli jawatankuasa serta pegawai memastikan setiap perancangan dilaksana dan dipantau dari semasa ke semasa.
Ini turut meliputi aspek kurang keupayaan dalam membangunkan visi dan misi berdasarkan realiti sebenar, keperluan institusi masjid, keperluan setempat dan persekitaran. Dalam banyak hal permasalahan ini juga turut disebabkan oleh ketidakupayaan unit pengurusan masjid di pejabat agama daerah negeri membangunkan hal-hal dasar dan hala tuju pembangunan institusi masjid.
Di sebalik permasalahan, kegagalan serta faktor-faktor khusus seperti dinyatakan memperlahankan perkembangan dan pembangunan, namun masih terdapat institusi masjid yang bergerak serta membangun dengan sangat baik walaupun terhimpit dengan hal kekurangan dana atau berhadapan dengan pelbagai kekangan lain.
Di antara contoh masjid yang boleh dikongsikan seperti Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) di Pahang, yang dikategorikan oleh pengurusan agama negeri sebagai masjid kariah.
Oleh yang demikian, menjadi perkara mustahak bagi setiap institusi pengurusan masjid di negeri dan daerah bagi memastikan perkara berkaitan perancangan hala tuju dapat diberi keutamaan berbanding hanya memikirkan tentang penganjuran aktiviti, program atau kuliah semata-mata tanpa mengetahui keperluan utama.
Sudah tentu perkara ini bukan suatu perkara yang mudah tetapi ia merupakan tindakan yang tepat selain harus diambil segera oleh badan-badan berwajib berkaitan pengurusan institusi masjid seperti Unit Pengurusan dan Pembangunan Masjid Negeri dan Daerah.-UTUSAN
DR. KHAIRULNIZAM MAT KARIM
Timbalan Dekan (Akademik & Penyelidikan),
Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd),
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)










