Bertindak pulih akidah, bimbing agama ahli GISBH

Bertindak pulih akidah, bimbing agama ahli GISBH

SEMUA agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd (GISBH) termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong kenyataan media oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Nooh Gadot berkaitan keputusan Mesyuarat MKI Kali Ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September, lalu. Persidangan itu memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa pimpinan, pengikut dan ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd (GISBH) sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 30 September membincangkan mengenai fahaman, ajaran, pegangan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya mempunyai elemen-elemen menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

Dalam hal ini, MAIS komited dalam melaksanakan tindakan pemulihan akidah dan bimbingan agama terhadap ahli GISBH.

Bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan sepertimana fatwa yang diwartakan, MAIS bersama agensi Kerajaan Negeri Selangor termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Melalui Pemulihan Asnaf Riqab di Selangor, mereka dibantu melalui proses pemulihan merangkumi pemulihan akidah, syariah dan akhlak, perlindungan dan keselamatan, bimbingan dan kaunseling, termasuk melalui proses istitabah. Modul Istitabah merangkumi empat bahagian iaitu saringan, rawatan kerohanian, pemulihan, pengukuhan dan sokongan.

Di samping itu, MAIS sentiasa bersedia bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri, agensi dan jabatan yang terlibat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kerajaan Negeri Selangor dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor melaksanakan tindakan pemulihan secara bersepadu bagi memastikan ajaran ini dibanteras hingga ke akar umbi.-UTUSAN

TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD YUSOF
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN