Beri peluang OKU kerja sebagai penjawat awam

Beri peluang OKU kerja sebagai penjawat awam

ORANG kurang upaya (OKU) perlu diberi tempat dalam sektor awam agar dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2023, sebanyak 92 individu orang kurang upaya (OKU) dilantik ke dalam perkhidmatan awam.

Pecahan kategori bagi pelantikan ini merangkumi 74 individu dari kategori fizikal, penglihatan (9), pendengaran (5), pelbagai (2), serta masing-masing seorang dari kategori pertuturan dan mental.

Bagi 2024, setakat 30 September, sebanyak 44 individu OKU dilantik dalam sektor awam. Pecahan kategori bagi pelantikan ini melibatkan 39 individu dari kategori fizikal, kategori pendengaran (39), penglihatan (1), dan mental (1).

Meskipun jumlah pelantikan pada tahun ini kelihatan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, namun perlu diambil kira data ini hanya merangkumi tempoh sehingga bulan September.

Dijangka jumlah pelantikan OKU bagi tahun ini akan meningkat apabila data dari Oktober hingga Disember disertakan.

Kerajaan juga melaksanakan Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan OKU, sebagai salah satu langkah utama untuk memastikan sekurang-kurangnya satu peratus daripada peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam diperuntukkan kepada golongan OKU. Dasar ini tidak sekadar bertujuan untuk memenuhi kuota, tetapi lebih daripada itu, ia memberi peluang kepada golongan OKU untuk berbakti dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam sektor awam.

Sebagai tambahan, kerajaan turut mengambil langkah memperkasakan golongan OKU melalui pendekatan kumpulan berbakat, yang memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran diri melalui program latihan khas. Program ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran OKU dengan memberi mereka pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam sektor awam.

Dengan adanya dasar yang proaktif dan inklusif, OKU akan diberi tempat yang sesuai dalam sektor awam serta dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara. Usaha ini bukan sahaja akan memanfaatkan golongan OKU, malah akan memberi impak positif kepada seluruh negara dalam membina masyarakat yang adil dan saksama.-UTUSAN

V. SIVAKUMAR
Ahli Parlimen Batu Gajah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN