APA yang berlaku di Gaza, di hadapan para pejuang dan penduduk awam hanya ada dua pilihan, kemenangan atau syahid. Menurut penganalisis ketenteraan, Faiz al-Duwairi, pejuang-pejuang di Gaza masih dalam keadaan menang. Menang yang dimaksudkan bukanlah bermakna mereka berjaya melumpuhkan Israel dan mengembalikan keamanan di Palestin, sebaliknya masih gagah dan kuat berada di lokasi mereka bagi menentang Israel yang dibantu daripada segi ketenteraan, ekonomi dan politik dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Itali dan sebagainya.
Tambahan daripada itu, bukan penduduk Palestin sahaja yang alami kematian dan kecederaan pada bulan lalu, perkara sama juga berlaku kepada pihak warga Israel dan tentera mereka.
Bahkan media-media Israel melaporkan negara itu membayar harga yang amat tinggi di selatan Lubnan dan di Jabalia. Menurut Haaretz pada 1 November lalu, tentera Israel mengiktiraf peningkatan jumlah kematian disebabkan senjata alat letupan buatan sendiri atau IED di Gaza pada bulan lalu (Oktober) berbanding mereka yang terbunuh disebabkan peluru roket anti-perisai yang disasarkan kepada kereta-kereta kebal atau pertempuran secara bersemuka.
Senjata berkenaan dihasilkan dari peluru roket pesawat-pesawat udara tentera yang tidak meletup. Ia diubah suai lalu diletakkan di laluan pasukan darat atau dalam bangunan sebagai perangkap”.
Menurut akhbar berkenaan juga, pihak tentera Israel memcuba pelbagai cara untuk mengatasi senjata IED tetapi tetap gagal.
Bukan itu sahaja, menurut Haaretz, bulan Oktober lalu merekodkan kekurangan sebilangan besar anjing pengesan bom disebabkan kematian, cedera atau tidak mampu lagi berkhidmat akibat terlalu banyak terlibat dalam operasi pencarian bom. Sehingga kini, pihak tentera Israel masih tidak mempunyai apa-apa alternatif untuk mengatasi senjata IED.
Di samping itu, pesara Jeneral Tentera Israel, Giora Eiland pada 23 Oktober menggesa rejim Israel menghentikan segera peperangan di Gaza, kerana terlalu ramai tentera yang terbunuh dan alami kecederaan sama ada pada fizikal atau mental.
Seterusnya, masalah parah yang turut dialami adalah dari sudut ekonomi. Setiap hari mereka perlu membayar sejumlah satubilion shekel untuk menanggung operasi ketenteraan. Hal ini merupakan beban besar untuk masa hadapan negara tambahan daripada tekanan-tekanan global untuk hentikan peperangan. Entiti Israel tiada pilihan lain melainkan benar-benar berunding dengan Hamas bagi memastikan nyawa kesemua tawanan dapat diselamatkan.
Sekiranya perang masih berpanjangan juga, semua tawanan akan mati dan lebih ramai askar terbunuh.
Sangat penting untuk umat Islam menyedari Gaza sehingga hari ini masih menjadi sasaran serangan bedilan bom, sekatan bantuan kemanusiaan dan keadaan mereka amat teruk sehingga disifatkan sebagai Nakbah kedua.
Ditambah pula dengan jangkaan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya baru-baru ini, Kemenangan ini dianggap sebuah lagi musibah buat umat Islam berasaskan tindakan-tindakan beliau ketika menjawat jawatan sama pada masa lalu.
Oleh itu, amat penting bagi umat Islam untuk menyumbang bantuan wang, advokasi, bina kesedaran dan paling penting ialah doa yang merupakan senjata bagi setiap mukmin.-UTUSAN
MEGAT AIMAN MEGAT SHARIFFUDIN
Penyelidik Aqsa Syarif










