Ahli terapi cara kerja bidang yang semakin meningkat di Malaysia

Ahli terapi cara kerja bidang yang semakin meningkat di Malaysia

HARI Terapi Cara Kerja disambut setiap tahun pada 27 Oktober. Kali ini, Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia (OT Malaysia) menganjurkan program OT RUN 4.0 bertujuan mempromosi profesyen bidang ini kepada masyarakat umum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI terapi cara kerja ialah profesional kesihatan yang menggunakan aktiviti dan kemahiran harian sebagai medium serta matlamat utama dalam rawatan, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan individu mencapai tahap berdikari dalam kehidupan seharian. 

Di Malaysia, terdapat sekitar 2,300 ahli terapi cara kerja yang berdaftar dengan Majlis Sains Kesihatan Bersekutu (MAHPC). Bagi mengamalkan profesion ini, individu perlu memiliki lesen pendaftaran serta kelayakan yang bersesuaian. Ahli terapi cara kerja boleh berkhidmat di pelbagai institusi seperti hospital kerajaan dan swasta, klinik, sekolah, pusat jagaan warga emas dan kanak-kanak, pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pusat terapi swasta berdaftar.

Mereka memainkan peranan penting dalam membantu individu pulih dan menyesuaikan diri setelah mengalami kecederaan atau kecacatan fizikal. Mereka menggunakan teknik khusus seperti modifikasi aktiviti harian, pengurusan kesakitan serta latihan adaptasi untuk membantu pesakit mencapai tahap keberdikarian yang optimum. 

Selain itu, ahli terapi cara kerja turut memberikan sokongan kepada kanak-kanak dengan keperluan khas, warga emas, dan individu yang mengalami masalah kesihatan mental, bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran harian, pekerjaan dan kehidupan sosial.

Profesion ini semakin berkembang pesat dan menyediakan peluang pekerjaan yang luas di Malaysia. Kelayakan minimum untuk menjadi ahli terapi cara kerja berlesen di Malaysia adalah diploma, namun Kesatuan Terapi Cara Kerja Sedunia menggalakkan kelulusan sekurang-kurangnya pada peringkat ijazah sarjana muda. 

Di peringkat antarabangsa, bidang terapi cara kerja kini diiktiraf di seluruh dunia, dengan Kesatuan Terapi Cara Kerja Sedunia (WFOT) memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian antarabangsa. Pengiktirafan ini membolehkan mereka berpeluang berkhidmat di peringkat antarabangsa, terutamanya di negara-negara yang mengiktiraf akreditasi daripada WFOT.

Walaupun profesion ini semakin berkembang, ahli terapi cara kerja di Malaysia masih menghadapi beberapa cabaran, termasuklah kekurangan bilangan profesional, kekangan sumber di hospital dan klinik, serta tahap kesedaran masyarakat yang rendah terhadap bidang ini. Oleh itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta amat diperlukan untuk memastikan lebih banyak peluang dapat diwujudkan bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang ini. 

Kerajaan dan sektor swasta turut memainkan peranan dalam memperkasa bidang terapi cara kerja melalui inisiatif pembiayaan, peluang biasiswa, dan kolaborasi dengan hospital dan pusat rehabilitasi swasta, bagi memastikan khidmat ini dapat diberikan kepada lebih ramai individu yang memerlukannya.

Sempena Hari Terapi Cara Kerja yang disambut setiap tahun pada 27 Oktober, Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia (OT Malaysia) telah menganjurkan program OT RUN 4.0 bertujuan untuk mempromosikan profesyen terapi cara kerja kepada masyarakat umum. Tema Hari Terapi Cara Kerja Sedunia pada tahun ini ialah “Terapi Cara Kerja untuk Semua,” yang menekankan kepentingan terapi cara kerja dalam meningkatkan kebolehan individu, komuniti, dan populasi untuk menjalankan aktiviti harian yang mereka ingin, perlu, dan dijangka boleh lakukan, tanpa mengira umur, taraf sosioekonomi, atau status.-UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. AHMAD ZAMIR CHE DAUD

Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia &

Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan,

Universiti Teknologi Mara (MARA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN