Urus masjid dengan betul, pamer sifat profesional

Urus masjid dengan betul, pamer sifat profesional

JADIKAN masjid penuh setiap hari seperti solat Jumaat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMAPARKAN sesuatu yang betul adalah perbuatan dan amalan baik sepatutnya dilakukan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang disebut sebagai ahli kariah. Apatah lagi kalau dipaparkan melalui tulisan atau foto yang bergerak melalui skrin yang dipasang.

Pasanglah skrin tersebut, paparkanlah sesuatu yang boleh memberi pengetahuan, maklumat dan aktiviti-aktiviti berkaitan agama serta lain-lain yang boleh memberi faedah kepada para jemaah yang hadir ke masjid. Paparkan juga jumlah kutipan hasil sumbangan jemaah atau orang ramai setiap minggu dan bulan. Jemaah-jemaah ingin tahu lebih-lebih lagi jemaah masjid tersebut. Pendapat umum mengatakan seperti mahukan pihak masjid berbuat demikian. Bukannya apa, sudahlah AJK yang dipilih seperti tetap dan berpencen, kutipan sumbangan orang ramai pun tidak dinyatakan. Bukannya AJK tidak berpeluang melihat kedudukan kutipan tersebut? Adakah perkara ini sesuatu yang bertentang dengan amalan kebaikan?

Kerana hal sedemikian, pemilihan AJK perlu melalui mesyuarat. Apakah masjid daerah tidak perlu mesyuarat agung untuk memilih dan melantik AJK? Kalau begitu apa perlunya mesyuarat dan bila masa pula boleh digunakan perkataan tersebut? AJK yang dilantik ada. Berilah mereka tugas, aktiflah bukan hanya dilihat berpakaian sedondon pada masa-masa tertentu dan atas kertas sahaja. Pada waktu lain tidak nampak pun kelibat mereka. Mengapa jadi begini?

Maka, uruslah dengan cara yang betul dan professional. Masjid juga boleh menjana pendapatan jika mahu, fikirkanlah bagaimana untuk lakukan.

Sesiapa pun AJK yang ditugaskan untuk mengadakan atau memperbaiki kemudahan masjid buatlah kerja. Cadangkanlah material yang baik. Biar alah membeli tetapi memang memakai.

Dari segi kebersihan dalam dan luar masjid juga perlu difikirkan dengan waras. Eloklah kebersihan masjid itu dibuat sekurang-kurangnya tiga kali dalam sehari. Berilah upah yang berpatutan. Mesin untuk pembersihan karpet (termahal) dari material Turkiye elok dibeli dan digunakan secara maksimum. Tahi-tahi burung yang terlekat di beranda masjid cukup mencemarkan dan sehingga kini masih ada lagi seperti tidak dibersihkan. Bersihkanlah. Wajar pada setiap Jumaat (sebelum solat) digilir-gilirkan bertugas untuk meraikan penghulu segala hari dan tetamu yang datang bersolat Jumaat.

Pembangunan tandas dan bilik air biarlah dari material yang baik dan mesra pengguna terutama warga emas. AJK yang membersihkan tandas buatlah kerja bersungguh-sungguh. Kalau upah sekadarnya bincanglah.

Ahli kariah juga berharap tempat letak kenderaan untuk orang kurang upaya (OKU) janganlah disekat-sekat jika sudah berniat daripada awal, maka pihak masjid hendaklah santuni mereka. Begitu juga dengan tempat letak motosikal perlu difikirkan juga.

Buku-buku hasil sumbangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kuala Pilah sekarang ini diletakkan di sebelah luar sedangkan gerobok rezeki dibangun dengan begitu gah. Buku-buku juga khazanah berharga yang merupakan sumber ilmu dan maklumat. Maka, berilah tempat dan hargailah buku-buku berkenaan.

Kuliah mingguan yang bersanat elok diteruskan dan ditambah baik. Kalau boleh dalam tempoh seminggu, jangan ada kelompongan. Hargai jemaah yang datang.

Carilah tokoh-tokoh yang berwibawa. Jadikan masjid ini hari-hari macam solat Jumaat.

Pihak masjid elok bermesyuarat apabila hendak melakukan sesuatu. Tirulah agenda masjid lain yang lebih baik kalau para AJK masih berfikiran hendak memakmurkan masjid yang dikatakan berkedudukan strategik ini.-UTUSAN

IBNU RAHMAN,
Bandar Seri Jempol

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×