Sentiasa utamakan kesihatan awam

Sentiasa utamakan kesihatan awam

Perak mengharamkan pengeluaran lesen vape.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuji kerajaan Malaysia kerana melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, berkuat kuasa 1 Oktober 2024.

Kemajuan ini dicapai walaupun terdapat memorandum daripada lima persatuan yang mewakili lebih 2,000 peniaga vape, menggesa pindaan kepada undang-undang yang memihak kepada industri vape. Walaupun industri vape mendakwa ia sebagai penjana pendapatan yang ketara, dakwaan yang tidak jelas ini tidak sebanding dengan kos perubatan yang besar terpaksa ditanggung pembayar cukai.

Lebih-lebih lagi, rayuan industri bagi mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, yang diketuai Perdana Menteri, menimbulkan kebimbangan mengenai komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC). Di bawah Perkara 5.3, kerajaan berkewajipan untuk melindungi dasar kesihatan awam daripada pengaruh kepentingan tembakau komersial. Kesihatan awam mestilah diutamakan daripada kepentingan komersial.

Walaupun menghisap vape dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat dan alat untuk berhenti merokok, dakwaan ini sering mengelirukan dan menyumbang kepada ketagihan nikotin yang berterusan.

Kerajaan mestilah kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi kesihatan awam dan menolak percubaan industri vape untuk mempengaruhi dasar bagi kepentingan komersialnya sendiri. CAP menggesa kerajaan Malaysia untuk menegakkan kewajipannya di bawah WHO FCTC dan mengutamakan kesihatan orang ramai berbanding keuntungan industri vape.

CAP menggesa kerajaan untuk menolak dengan tegas memorandum industri vape. Hujah industri, sama seperti yang pernah digunakan oleh sektor tembakau, direka untuk mengelirukan orang ramai dengan mempersembahkan vape sebagai alternatif yang lebih selamat.

Memandangkan penggunaan vape dalam kalangan belia Malaysia terus meningkat, risiko kesihatan dan kos ekonomi jauh melebihi sebarang potensi manfaat kewangan yang mungkin ditawarkan oleh industri. Kesihatan awam mestilah sentiasa diutamakan.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN