Revolusi dakwah digital jadi pilihan

Revolusi dakwah digital jadi pilihan

VIDEO kapsul dakwah mungkin kelihatan sekadar satu trend semasa tetapi ia mentransformasi kaedah pembelajaran dan perkongsian ilmu Islam terutama kepada generasi muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAYANGKAN anda sedang bermain Instagram atau TikTok dan tiba-tiba, satu video pendek muncul berkaitan pengajaran Islam disampaikan dengan cara yang begitu memikat sehingga tidak sedar yang anda telah menekan butang kongsi.

Video kapsul dakwah, istilah ini mungkin asing bagi sesetengah pihak namun kini sudah menjadi sebutan ramai. Seperti ubat di dalam kapsul yang padat dengan bahan aktif, video-video ringkas ini diisi dengan ilmu dan hikmah, namun disampaikan dalam bentuk yang mudah dihadam oleh minda moden kita.

Walaupun hanya berdurasi antara 15 saat hingga seminit, namun ia masih boleh menyampaikan mesej yang kuat dan lengkap. Sebagaimana kajian yang dilaksanakan Microsoft, kadar tumpuan manusia pada zaman kini menurun kepada lapan saat sahaja. Oleh itu, kaedah pembelajaran melalui video pendek dengan visual menarik amat sesuai dengan cara otak kita bekerja sekarang.

Selain teknik penyampaian yang baik, penggunaan bahasa harian yang ringkas dan mudah difahami menarik ramai orang untuk menonton, terutama golongan Generasi Z dan millennials.

Walau bagaimanapun, perlu diakui medium ini juga membawa cabaran tersendiri. Ketiadaan interaksi bersemuka boleh mengakibatkan salah faham atau penyebaran maklumat yang tidak tepat. Oleh itu, penting bagi penghasil kandungan dan pentadbir platform untuk memantau serta menguruskan perbincangan dengan teliti, memastikan ia kekal konstruktif selain beretika.

Video kapsul dakwah mungkin kelihatan seperti sekadar satu trend semasa dalam landskap media digital. Namun, hakikatnya, fenomena ini merupakan suatu revolusi senyap yang mentransformasi kaedah pembelajaran dan perkongsian ilmu Islam. Inovasi ini bukan sahaja menjadikan dakwah lebih mudah diakses, malah ia turut membuka ruang yang lebih luas untuk perbincangan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang ajaran Islam.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau dan Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×