BARU-BARU ini, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kenaikan tangga gaji dari RM1,500 kepada RM1,700 merupakan berita yang menggembirakan ramai pihak, khususnya golongan muda.
Pengumuman itu bagaimanapun menyebabkan majikan perlu memikirkan cara untuk mengurangkan pekerja bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang membawa maksud mengurangkan tenaga kerja mahir.
Majikan ataupun syarikat yang bernaung di bawah agensi kerajaan mungkin tidak menghadapi cabaran, namun golongan majikan swasta pastinya akan menghadapi masalah dengan pengumuman kadar kenaikan gaji minimum yang dicanang dalam Belanjawan 2025 ini.
Bagi majikan yang mempunyai pekerja di bawah lima orang, masa diberi sehingga tarikh berkuatkuasa Ogos tahun hadapan. Ini secara tidak langsung memberi ruang masa untuk majikan menilai semula prestasi pekerjanya sama ada ingin mengekalkan kesemua mereka atau mengurangkannya kepada tiga orang pekerja sahaja untuk menampung kos operasi.
Tidak mustahil juga, kadar pengangguran akan meningkat pada masa hadapan dan juga peluang pekerjaan akan menjadi terhad. Ia juga mungkin mewujudkan ruang yang bersifat kronisme.
Selain itu, pengelasan taraf bagi pendapatan isi rumah juga akan berubah secara tidak langsung. Graf di atas kertas juga bakal menunjukkan kerajaan berjaya mengurangkan bilangan kelompok miskin sebagaimana yang diimpikan, namun realitinya golongan B40 yang akan berubah status akan menghadapi tekanan tanpa sedar.
Jika status pengelasan kekal dan tidak berubah berdasarkan pendapatan isi rumah bagi golongan B40 di bawah paras RM3,000, maka dengan kenaikan tangga gaji minimum yang baharu ini, akan meletakkan golongan B40 kepada tahap baharu berstatus M40 yang mana mereka tidak akan menerima subsidi seperti sebelum ini.
Menariknya, tangga gaji lepasan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah sebanyak RM2,500 hingga RM4,000. Faktor ini kebarangkalian boleh menambah jumlah pelajar TVET yang berkemahiran tinggi atau separuh mahir dalam bidang masing-masing.
Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada kecenderungan belia itu sendiri untuk membangunkan potensi diri selain mengambil peluang untuk meletakkan diri dalam pelbagai agensi dan mampu melakukan banyak pekerjaan dalam semua aspek.-UTUSAN
AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi Kesatuan Pemuda Islam Gabungan Sekolah Rendah Agama Sepenuh Masa,
Taiping, Perak










