Perkenal seni batik pada kanak-kanak

Perkenal seni batik pada kanak-kanak

APABILA aktiviti ini diselitkan dalam kurikulum pra-sekolah, kanak-kanak akan berpeluang untuk meneroka aktiviti seni batik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENI batik bermula dengan lukisan pada kain putih menggunakan pensil, canting diisi dengan lilin cair untuk melukis semula pada kain, dan proses mewarna.

Aktiviti seni batik boleh diketengahkan kepada kanak-kanak seawal peringkat tadika. Aktiviti seumpama ini dilihat positif kerana ia dapat mengasah kemahiran kreativiti dan daya fokus mereka.

Apabila kanak-kanak ini diberi peluang untuk mencanting batik, sudah pasti keterujaan untuk melakukannya adalah tinggi. Tambahan lagi, tidak mudah bagi mereka memperoleh pengalaman mencanting batik pada masa kini. Aktiviti seperti ini adalah terhad hanya di pusat-pusat kraf, dan sudah pasti ia memerlukan sedikit kos.

Apabila aktiviti ini diselitkan dalam kurikulum pra-sekolah, kanak-kanak akan berpeluang untuk meneroka aktiviti seni batik tersebut. Mereka dapat mempelajari bagaimana menggunakan teknik warna pada kanvas berdasarkan motif-motif yang disediakan. Mewarnakan motif batik tersebut mengikut kreativiti masing-masing.

Untuk diselarikan dengan keupayaan tahap perkembangan kanak-kanak semasa proses mencanting batik ini, mereka boleh diberikan motif sedia ada yang telah dicanting menggunakan lilin di atas kain. Kemudian mereka hanya perlu mewarnakan sahaja motif tersebut menggunakan warna khas.

Adalah mengejutkan apabila aktiviti seni batik ini dilakukan oleh kanak-kanak di tadika, mereka didapati mampu untuk mewarnakan motif tersebut dengan baik. Malah, ada antara mereka mampu melakukan proses mewarna motif batik tersebut lebih baik daripada guru-guru mereka.

Justeru itu, aktiviti seni batik ini perlu diperkenalkan kepada anak-anak generasi masa kini demi memelihara aspek kesenian dan warisan budaya negara.

Pihak kementerian juga boleh mengesyorkan pelbagai kerjasama antara pihak sekolah dan jabatan kesenian untuk mempelbagaikan lagi aktiviti-aktiviti seni diperingkat sekolah. Maka, kelestarian seni batik ini khususnya dapat akan terpelihara dari zaman ke zaman. – UTUSAN

SHAHRUL AFFENDI ISHAK
Pelajar Doktor Falsafah
(Sumber & Teknologi Maklumat)
di Fakulti Pendidikan, UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN