BERUCAP adalah kelebihan beliau selaku seorang Perdana Menteri terutamanya yang memerlukan ucapan yang penuh semangat seperti rapat umum, sidang politik, tunjuk perasaan dan perhimpunan yang dihadiri puluhan ribuan manusia.
Suatu ketika dahulu beliau amat dikenali kerana merupakan seorang pemidato yang hebat dan tentunya tiada sebarang masalah untuk berucap apa sahaja mengenai pelbagai isu semasa atau politik.
Mengamati setiap ucapan beliau, ternyata tidak keterlaluan jika saya katakan kebanyakkannya adalah topik yang berulang.
Contohnya semasa saya hadir dalam Himpunan Gerakan Rakyat sebagai tanda menzahirkan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Presiden PKR, jelas sekali ucapannya agak ‘basi’.
Hakikatnya rakyat mula menilai sejauh mana Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mempertahankan kewibawaannya untuk menjadi seorang pemimpin yang popular dalam kalangan rakyat.
Pada hemat saya, beliau tidak jauh berbeza daripada isu-isu yang pernah dibangkitkan sewaktu semasa berada di luar kerajaan. Beliau masih lantang menentang rasuah dan tatakelola yang tidak telus.
Makanya, ketika inilah masa keemasan dan merupakan peluang terbaik untuk beliau membuktikan atau bertindak ke atas mereka yang menjadi sasaran dan individu tertentu yang dianggapnya jerung.
Pun begitu, tidak sesiapapun atau mana-mana pihak yang boleh menafikan yang beliau sememangnya dilihat seorang pemimpin yang kuat bekerja semata-mata untuk kepentingan rakyat.
Justeru, beliau diharap memastikan reformasi di semua kementerian, jabatan atau agensi kerajaan agar dapat menjadi tulang belakang terhadap kejayaan sebuah gagasan membangunkan Malaysia Madani.-UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










