Kenaikan gaji penjawat awam merupakan isu yang sering dibincangkan dan ia membawa implikasi besar bukan sahaja kepada kakitangan itu tetapi juga terhadap ekonomi serta masyarakat secara keseluruhan.
Untuk menjayakan kenaikan gaji ini, penting bagi penjawat awam mengamalkan struktur semula perbelanjaan dalam kehidupan seharian. Dengan pengurusan kewangan peribadi yang bijak, mereka dapat memastikan pendapatan yang diterima digunakan sebaik mungkin, sekali gus meningkatkan kualiti hidup.
Salah satu cara untuk struktur semula perbelanjaan adalah dengan membuat bajet yang realistik. Penjawat awam perlu mengenal pasti pendapatan bulanan dan perbelanjaan tetap serta tidak tetap mereka selain mengamalkan tabiat menabung. Menyimpan sebahagian daripada pendapatan bulanan dalam akaun simpanan atau pelaburan adalah langkah yang bijak untuk menghadapi kecemasan atau perbelanjaan tidak terduga di masa hadapan.
Penggunaan teknologi juga boleh membantu penjawat awam dalam struktur semula perbelanjaan. Terdapat pelbagai aplikasi kewangan yang boleh digunakan untuk memantau perbelanjaan dan menyusun bajet.
Selain itu, penjawat awam juga boleh mempertimbangkan untuk mencari pendapatan sampingan. Dalam era digital ini, terdapat banyak peluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui kerja dalam talian, seperti perkhidmatan secara bebas, menjual produk di platform e-dagang atau menawarkan kelas dalam bidang kepakaran mereka. Pendapatan tambahan ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan harian, menyimpan untuk masa depan atau melunaskan hutang. Dengan cara ini, mereka dapat meningkatkan kestabilan kewangan mereka secara keseluruhan.
Kenaikan gaji penjawat awam juga perlu disokong oleh pengurusan yang baik dalam organisasi. Kerajaan perlu memastikan sistem gaji adalah adil dan berpatutan, serta memberi insentif kepada penjawat awam untuk meningkatkan prestasi mereka. Penjawat awam yang berprestasi tinggi perlu diberi pengiktirafan dan ganjaran yang sewajarnya, yang dapat memotivasi mereka untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Ini juga akan menggalakkan suasana kerja yang positif dan produktif.
Kesedaran tentang pentingnya keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi juga perlu dititikberatkan. Penjawat awam perlu diberi ruang untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal. Dengan kesihatan yang baik, mereka akan lebih berdaya saing dan produktif dalam menjalankan tugas.
Dengan pengurusan kewangan yang bijak dan perancangan yang teliti, penjawat awam dapat mengoptimakan setiap sen yang diperoleh. Oleh itu, penting bagi mereka untuk mengambil langkah proaktif dalam menguruskan kewangan agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan memenuhi tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Dengan kerjasama antara penjawat awam dan kerajaan, kita dapat mencapai perkhidmatan awam yang cemerlang dan masyarakat yang lebih sejahtera.-UTUSAN
ROSAMIZA MEOR RAZAK
Jabatan Perdagangan Politeknik
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah










