TARAF kewarganegaraan adalah satu keistimewaan bagi seseorang individu dalam sesebuah negara. Peruntukan Perlembagaan menyatakan tentang kewarganegaraan dan pemberian taraf kewarganegaraan.
Hari ini, dilaporkan ada jutaan warga asing yang datang bekerja di Malaysia. Terdapat juga pendatang asing tanpa izin (PATI). Juga terdapat laporan bahawa ramai pelancong datang masuk ke Malaysia tetapi tidak dapat dikesan keberadaan mereka dan tiada rekod keluar dari Malaysia.
Kebimbangan besar perlu wujud jika mereka ini atau sebahagian mereka diberi taraf kewarganegaraan Malaysia melalui cara yang salah.
Oleh itu, taraf kewarganegaraan hendaklah menjadi satu perkara besar dan serius.
Pemberian taraf kewarganegaraan tanpa mengikut saluran undang-undang yang betul dan ketat adalah satu pengkhianatan terhadap negara.
Warganegara yang tidak memahami dan menghayati asas negara Malaysia juga adalah individu yang berbahaya kepada keutuhan sebuah negara.
Kerajaan perlu lebih serius dan tegas dalam pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing.
Kita perlu melihat ke hadapan tentang kemudaratan jika kewarganegaraan diberikan tanpa kawalan ketat dan tanpa menurut peruntukan undang-undang yang betul. Oleh itu, isu rasuah dalam perkara kewarganegaraan wajib dibanteras sehabis-habisnya.
Syarat-syarat kewarganegaraan wajib diperketatkan. Kuasa pemberian taraf kewarganegaraan khususnya kepada warga asing perlu melibatkan banyak pihak penting agar tidak wujud penyelewengan.
Kita menerima sesiapa sahaja untuk datang melancong ke negara kita dengan pemberian visa pelancongan. Kita menerima baik sesiapa yang ingin belajar dalam negara ini.
Kita menerima sesiapa sahaja yang sesuai untuk bekerja dan mencari rezeki dalam negara ini menurut lunas undang-undang. Namun kita tidak seharusnya mengambil ringan dan mengambil mudah isu kewarganegaraan. Ini kerana warganegara mempunyai hak dan suara untuk mengubah struktur asas negara ini.-UTUSAN
DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Kenegaraan Dan
Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia (UPM)










