Kanser kolon bukan hukuman mati

Kanser kolon bukan hukuman mati

SARINGAN awal adalah langkah pencegahan yang sangat disarankan untuk individu berusia antara 50 hingga 75 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSER kolon semakin menjadi perhatian di Malaysia sebagai kanser paling tinggi terjadi dalam kalangan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara.

Kebanyakan pesakit didiagnosis pada tahap tiga dan empat, mengakibatkan rawatan yang lebih mencabar dan prognosis yang kurang baik.

Gejala awal seperti tinja berdarah, perubahan pola buang air besar dan sembelit yang berpanjangan harus diambil serius.

Banyak individu yang mengabaikan tanda-tanda ini sekali gus menyebabkan diagnosis lewat dan komplikasi serius seperti usus tersumbat dan pendarahan dalam usus besar.

Masyarakat disarankan untuk peka dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutama jika mengalami gejala yang mencurigakan.

Diagnosis kanser kolon biasanya dimulakan dengan perbincangan mengenai gejala dan faktor risiko, termasuk sejarah keluarga, merokok dan obesiti.

Proses ini sering diikuti dengan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Ujian kolonoskopi adalah langkah penting dalam pengesahan diagnosis, dengan alat khas digunakan untuk memeriksa usus besar secara menyeluruh.

Sekiranya kanser dikesan, pakar bedah akan melakukan biopsi untuk mengesahkan kehadiran sel kanser.

Rawatan utama untuk kanser kolon adalah pembedahan dengan bahagian usus terjejas dan kelenjar limfa berdekatan akan dibuang.

Pembedahan ini dilakukan melalui bius penuh dan pesakit biasanya perlu dimasukkan ke hospital untuk pemantauan sebelum dan selepas prosedur. Proses pemulihan boleh mengambil masa, bergantung kepada tahap kanser dan keadaan kesihatan pesakit.

Bagi sesetengah pesakit, kemoterapi mungkin disarankan selepas pembedahan, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami kanser berulang.

Rawatan kemoterapi bertujuan untuk mengurangkan risiko penyebaran kanser ke organ lain dan meningkatkan jangka hayat pesakit.

Namun, tidak semua pesakit memerlukan rawatan itu kerana keputusan dibuat berdasarkan perbincangan antara pakar bedah dan pakar onkologi.

Saringan awal adalah langkah pencegahan yang sangat disarankan untuk individu berusia antara 50 hingga 75 tahun. Ujian sisa tinja, seperti Ujian darah okult najis imunokimia (iFOBT), digunakan untuk mengesan kehadiran darah dalam najis.

Jika ujian ini menunjukkan hasil positif, individu akan dirujuk untuk menjalani kolonoskopi.

Penyelidikan menunjukkan pengesanan awal dapat mencegah kelewatan diagnosis dan meningkatkan kejayaan rawatan serta kelangsungan hidup.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga sedang menjalankan inisiatif untuk membangunkan ujian saringan menggunakan darah, yang diharapkan dapat meningkatkan kepekaan pengesanan kanser kolon. Inovasi ini berpotensi memudahkan akses untuk individu berisiko menjalani saringan serta mengurangkan stigma dan ketakutan terhadap prosedur pemeriksaan.

Melalui kempen kesihatan dan informasi yang tepat, rakyat Malaysia dapat memahami kanser kolon bukanlah hukuman mati.

Dengan pengesanan awal dan rawatan yang tepat, peluang untuk pemulihan adalah tinggi.

Oleh itu, semua individu diseru untuk proaktif dalam menjaga kesihatan mereka dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah kanser kolon.-UTUSAN

DR. NABIL MOHAMMAD AZMI
Pakar Bedah dan Pensyarah Jabatan Surgeri Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN