KETERLIBATAN secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dalam mengarusperdanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) semakin mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara, khususnya dari China.
Menerusi inisiatif Malaysia-China Institute (MCI) yang berperanan sebagai platform kerjasama dua negara membangunkan TVET, seramai 14 orang bakat muda yang berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bidang Teknologi Automotif telah berangkat ke China bagi melanjutkan latihan TVET di peringkat Diploma in Automotive Inspection and Maintenance Technology yang turut memfokuskan kepada kemahiran hybrid electric vehicles (HEV), battery electric vehicles (BEV), plug-in hybrid electric vehicles (PHEV) dan fuel cell electric vehicles (FCEV).
MCI digerakkan secara bersama oleh Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Tang International Education Group China dengan sokongan dan kerjasama institusi TVET dan industri dari China.
Kumpulan pelajar ini akan menjalani latihan selama setahun ini secara sepenuh masa bertempat di Tangshan Polytechnic University di China dengan penajaan penuh beserta elaun sara diri dengan mengguna pakai pendekatan latihan Work Based Learning (WBL) yang turut melibatkan beberapa industri automotif terkemuka China sepanjang latihan.
Fakta menarik yang ingin dikongsikan kesemua yang terpilih ini adalah tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik atau tidak menamatkan persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun, mereka telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih laluan TVET di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan membuktikan kepadaseluruh masyarakat bahawa pensijilan SKM mampu memberi jaminan masa hadapan yang gemilang termasuk lanjutan ke luar negara.
Belia Mahir juga berkeyakinan akan lebih ramai lagi bakat muda TVET tempatan bakal melanjutkan latihan di China pada tahun 2025-2026 bersandarkan kepada penglibatan seramai 1,776 orang pelajar TVET yang telah menjalani latihan jangka masa pendek antara dua minggu hingga tiga bulan dalam program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) yang telah berlangsung sejak Julai 2023 sehingga kini. – UTUSAN
MOHAMMAD RIZAN HASSAN
Ketua Belia Mahir










