TINDAKAN Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) memainkan sentimen perkauman melampau baru-baru ini amat mengecewakan. Ia susulan cadangan Pengerusi DAP Negeri Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, supaya Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dipinda bagi membolehkan pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur seperti yang diamalkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.
Nampaknya DPPWP begitu bertekad untuk menafikan hak penduduk ibu kota mendapat perwakilan tempatan mereka tersendiri. Sebagai konteks, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mempunyai lembaga penasihat dan tiada ahli majlis yang dilantik.
Bandaraya Kuala Lumpur juga tidak mempunyai perwakilan di peringkat negeri seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri lain.
Hal ini menyukarkan urusan perkhidmatan dan aduan kawasan kerana hanya tertumpu kepada 11 ahli Parlimen yang perlu berkhidmat untuk 1.98 juta penduduk Kuala Lumpur.
Bandingkan ini dengan negeri-negeri lain yang mempunyai populasi yang jauh lebih rendah seperti Perlis (284,000), Melaka (998,000), Negeri Sembilan (1.19 juta) dan Terengganu (1.14 juta) yang masing-masing mempunyai ahli majlis dan wakil rakyat negeri masing-masing.
Melihat kepada data-data ini, jelaslah DPPWP tidak langsung mengambil berat keperluan penduduk Kuala Lumpur tetapi lebih berminat untuk bermain politik. Kenyataan mereka juga menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab. Memandangkan mereka begitu keras membantah konsep pilihan raya PBT, adakah DPPWP akan menyokong jika ahli majlis diwujudkan secara lantikan kelak?-UTUSAN
RAJA AHMAD ISKANDAR FAREEZ
Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur










