Bina kerjaya sejak di bangku sekolah

Bina kerjaya sejak di bangku sekolah

SEKOLAH khusus kerjaya berfungsi untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran yang lebih spesifik dan mendalam dalam bidang kerjaya pilihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin berkembang pesat, perubahan ekonomi dan teknologi menuntut kecekapan dan kemahiran yang tinggi dalam setiap sektor pekerjaan. Untuk menyesuaikan diri dengan keperluan ini, sistem pendidikan juga perlu berubah termasuk memperkenalkan sekolah khusus kerjaya.

Sekolah ini berfungsi untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran yang lebih spesifik dan mendalam dalam bidang kerjaya pilihan, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan yang semakin mencabar.

Berbeza dengan sekolah tradisional yang menawarkan pendidikan umum, sekolah ini menyediakan kurikulum yang diubahsuai mengikut bidang yang diminati pelajar.

Sebagai contoh, jika seorang pelajar berminat dalam bidang kejuruteraan, mereka akan didedahkan dengan subjek dan latihan yang lebih khusus dalam bidang tersebut.

Mereka berpeluang mempelajari kemahiran melalui pengajaran teori dan praktikal yang lebih mendalam. Mereka juga akan mendapat pengalaman sebenar melalui program latihan industri.

Antara kelebihan sekolah ini ialah dapat memulakan pengkhususan dalam bidang yang mereka minati sejak awal lagi. Ini memberi mereka lebih banyak masa untuk menguasai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang tersebut. Selain itu, pelajar juga akan menikmati pembelajaran yang lebih relevan dengan kerjaya masa depan kerana kurikulum yang ditawarkan disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri.

Tambahan pula, sekolah ini membuka peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan praktikal dalam industri sebenar. Peluang ini memberi pelajar pengalaman berharga yang sukar diperoleh dalam sistem pendidikan tradisional.

Pun begitu, kebimbangan utama jika sekolah ini diwujudkan ialah kekurangan fleksibiliti dalam laluan pendidikan. Dalam sistem ini, pelajar dikehendaki membuat pilihan kerjaya pada usia muda sehingga menyebabkan mereka membuat pilihan yang terburu-buru. Menukar bidang mungkin menjadi sukar kerana pendidikan yang diterima sangat khusus.

Selain itu, sekolah khusus kerjaya juga berisiko mengurangkan pendidikan umum yang diperlukan untuk perkembangan holistik pelajar. Pendidikan umum penting untuk membina kemahiran insaniah seperti pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerjasama dalam pasukan. Tanpa pendidikan yang seimbang, pelajar mungkin hanya mahir dalam bidang tertentu tetapi kekurangan kemahiran asas yang diperlukan dalam kehidupan seharian.

Untuk mengatasi cabaran ini, sekolah khusus kerjaya perlu menawarkan pendidikan am yang mencukupi pada peringkat awal sebelum pelajar membuat pilihan pengkhususan. Ini membolehkan pelajar mendapat pendedahan terhadap pelbagai bidang sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kerjaya yang ingin diceburi. Selain itu, kaunseling kerjaya yang efektif perlu disediakan bagi membantu pelajar mengenali minat dan bakat mereka dengan lebih mendalam.

Sekolah ini juga perlu mengekalkan hubungan rapat dengan industri untuk memastikan kurikulum sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa.

Dengan strategi yang betul, sekolah khusus kerjaya boleh menjadi platform yang kukuh dalam melahirkan generasi pekerja yang lebih berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato’ Sulaiman,
Parit Sulong, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN