KEBELAKANGAN ini negara digemparkan dengan kewujudan kumpulan ajaran sesat yang mendapat liputan media seluruh negara. Di Malaysia, sebanyak 155 ajaran difatwakan sesat sejak daripada 1950 sehingga kini.
Antara kumpulan yang dikategorikan sebagai sesat ialah Ajaran Ayah Pin, Ajaran Haji Kahar, Ajaran Harun Saat, Ajaran Milah Ibrahim, Ajaran SiHulk, Ajaran Agama Ahmadi dan sebagainya.
Terkini Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) difatwakan mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Jika ajaran sesat tidak dibanteras secara efektif oleh institusi agama maka, ketaksuban melampau pengikut kumpulan ini akan memicu perpecahan dan menimbulkan konflik antara kelompok dalam masyarakat.
Justeru, bagi menghindarkan diri daripada terjerumus dalam ajaran sesat maka, seseorang individu harus memperkuatkan iman dan mendalami ilmu agama. Sebagai Muslim, kita mempunyai tanggungjawab untuk memahami sepenuhnya ajaran Islam yang dianuti sejak lahir.
Hal ini kerana, semakin mendalam dan tinggi kefahaman terhadap ajaran Islam, semakin sulit kumpulan ajaran sesat untuk mempengaruh dan memesongkan akidah kita.
Selain berusaha mendalami ilmu agama, seseorang Muslim haruslah mencari ilmu agama daripada sumber-sumber yang sahih seperti al-Quran dan hadis sahih, fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti dan mengikuti kuliah atau ajaran yang dibawa oleh agamawan berkredibiliti tinggi.
Pada era kepesatan maklumat hari ini seseorang individu harus berhati-hati dengan segala informasi berkaitan agama yang diperoleh terutamanya daripada media sosial.
Bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan ajaran sesat, kita perlu menyaring segala informasi dengan cara tidak mempercayai sepenuhnya maklumat yang masih belum jelas sumbernya. Selain itu, kita juga perlu melakukan mengesahkan informasi sebelum menyebarkannya kepada pihak ketiga.
Sekiranya ragu-ragu terhadap maklumat tersebut adalah lebih baik untuk tidak menyebarkan maklumat itu kepada orang lain atau jika perlu dapatkan pandangan daripada pakar, ulama ataupun tokoh agama yang dipercayai untuk mengetahui kebenaran sesuatu maklumat.
Potensi individu untuk terjerumus dalam ajaran sesat juga boleh dibendung dengan mengenali ciri-ciri ajaran sesat.
Antara ciri sesebuah kumpulan itu mengandungi ajaran tentang perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam sebenar ialah memupuk ketaatan dan ketaksuban melampau kepada pemimpin, menjanjikan kesenangan duniawi, membentuk sebuah kumpulan tertutup dan mengasingkan pengikutnya daripada masyarakat umum, selain mengawal ketat tingkah laku serta ideologi pengikutnya.
Dampak negatif kumpulan ajaran sesat menunjukkan masyarakat dan institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), mufti-mufti, Jabatan Agama Islam Negeri dan sebagainya perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing agar pengaruh kumpulan-kumpulan ajaran sesat ini dapat ditangani sepenuhnya sekali gus memartabatkan Islam di Malaysia sebagai agama yang syumul dan dihormati oleh agama-agama lain.-UTUSAN
MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Raub










