WARGA emas sering kali menjadi sasaran penipu kerana beberapa sebab tertentu. Antaranya kerana mereka kurang peka dengan perkembangan teknologi dan sukar mengenal pasti tanda-tanda amaran penipuan dalam talian.
Ramai warga emas mempunyai simpanan kewangan hasil kerja keras bertahun-tahun, menjadikan mereka sasaran yang menarik.
Tambahan pula, golongan ini cenderung bersikap lebih mempercayai orang lain dan kurang waspada, menjadikan mereka lebih mudah ditipu, terutamanya jika penipu menyamar sebagai pihak berkuasa atau ahli keluarga.
Terdapat pelbagai jenis penipuan yang sering digunakan seperti penipuan wang segera, penipuan melalui panggilan telefon, penipuan romantis dan penipuan cukai atau skim insurans palsu.
Dalam penipuan wang segera, scammer biasanya menghantar emel atau mesej palsu yang menyamar sebagai institusi kewangan dan meminta maklumat peribadi mangsa.
Penipuan melalui panggilan telefon pula sering melibatkan tawaran hadiah palsu atau tuntutan bayaran pendahuluan, dengan scammer menyamar sebagai wakil syarikat tertentu.
Penipuan romantis berlaku di laman sosial, apabila penipu menjalin hubungan palsu dengan mangsa sebelum meminta wang atau bann kewangan.
Kesan penipuan terhadap warga emas boleh menjadi sangat buruk, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari segi emosi dan psikologi. Kehilangan wang simpanan akibat penipuan boleh menjejaskan kesejahteraan warga , terutamanya bagi mereka yang sudah bersara dan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap.
Mereka juga mungkin mengalami tekanan emosi seperti rasa malu, cemas dan tidak berdaya setelah menyedari telah ditipu.
Lebih membimbangkan lagi, ramai warga emas tidak melaporkan kejadian penipuan ini.
Bagi menangani masalah penipuan terhadap warga , beberapa langkah boleh diambil untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi mereka. Pendidikan siber penting bagi golongan ini untuk memberikan pengetahuan tentang bahaya penipuan dalam talian.
Bengkel atau seminar mengenai keselamatan digital dalam bentuk yang mudah faham boleh membantu warga emas memahami bahaya tersebut dan cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
Selain itu, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan dengan berbincang secara terbuka tentang bahaya penipuan dan memberi sokongan kepada warga emas agar mereka berasa lebih bersedia dan yakin.
Kerajaan dan sektor swasta mempunyai tanggungjawab dalam melindungi golongan ini daripada ancaman tersebut. Kempen kesedaran keselamatan siber melalui pelbagai medium seperti media sosial, televisyen dan radio perlu dalam menyebarkan maklumat penting tentang cara melindungi diri daripada penipuan.
Institusi kewangan dan syarikat teknologi boleh membantu dengan memberikan garis panduan keselamatan selain menyediakan alat keselamatan yang mudah digunakan oleh warga emas.
Kesedaran warga emas tentang perangkap scammer penting untuk memastikan mereka tidak menjadi mangsa dalam dunia digital yang semakin mencabar.
Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan kita semua perlu memainkan peranan dalam melindungi orang tersayang daripada ancaman dan perangkap scammer.-UTUSAN
DR. AIDANAJWA SABRI
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kerajaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










