APABILA Ketua UMNO bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR tidak layak untuk bermain poker selain dianggap penumpang dalam politik Malaysia, ia sedikit sebanyak merencatkan momentum kemenangan yang berjaya di capai oleh Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Kejayaan yang diraikan bersama DAP dan komponen dalam Kerajaan Perpaduan itu lenyap setelah kenyataan Nur Jazlan dibidas oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR dan Amanah.
Mungkin Nur Jazlan merasa tersinggung apabila PH melalui Amanah menuntut Kerajaan Perpaduan dibentuk di Johor. Tuntutan itu dianggap relevan dan munasabah memandangkan di Selangor dan Pulau Pinang, BN turut diserap dalam pentadbiran kerajaan negeri meskipun UMNO hanya mempunyai bilangan kerusi yang rendah.
Sama ada pembentukan kerajaan diadakan sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk atau selepasnya, semangat kerajaan wajar diterjemah dalam setiap pentadbiran yang ada.
Amanah memang parti yang tidak akan bermain poker, Amanah merupakan parti progresif Islam yang ditubuhkan untuk menjadi gerakan Islam zaman moden Malaysia.
Amanah diwujudkan khas bagi menerapkan nilai Islam sesuai dalam konteks perlembagaan Malaysia. Manakala dari sudut Amanah tidak akan menjadi pemain utama politik Malaysia atas faktor kekuatan, usia dan komposisi kerusi yang dimiliki tidak boleh diterima sama sekali.
Keadaan dan gaya politik Malaysia hari ini jelas menunjukkan setiap parti baik kecil mahupun besar, tua atau muda perlu bekerjasama demi sebuah kuasa dan kemenangan.
UMNO sendiri terpaksa memerlukan pihak lain untuk membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baik di peringkat Persekutuan, negeri seperti di Pahang dan Perak. Bukankah itu jarang-jarang berlaku ketika UMNO-BN memerintah dahulu? Sedangkan UMNO merupakan antara parti tertua dan terbesar di Malaysia.
Demikian juga semasa menuju pilihan raya enam negeri, Amanah didakwa hanya menumpang dalam politik negara kerana memberikan beberapa laluan kerusi kepada UMNO-BN untuk ditandingi. Jika diikutkan Amanah boleh sahaja bertanding semua kerusi yang ditandingi semasa PRU14 tanpa memberi laluan kepada UMNO, namun Amanah melihat kepada asas kerajaan ditubuhkan malah memegang prinsip kekuatan bersama dalam menggembleng kemenangan itu.
Amanah rela memberikan laluan itu asalkan kerajaan perpaduan bertambah kukuh. Mengapa Nur Jazlan tidak boleh memikirkan secara bersama yang tuntutan Amanah kepada kepimpinan Johor itu merupakan satu usaha memperkasakan Kerajaan Perpaduan?
Amanah satu ketika dahulu pernah memohon maaf kepada UMNO melalui Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Ketika itu Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menyentuh isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia melukai hati kepimpinan dan ahli UMNO, lalu Salahuddin memohon maaf kepada UMNO ketika bertemu dengan Presiden UMNO.
Maknanya, Amanah membawa sikap perdamaian demi keutuhan Kerajaan Perpaduan. Amanah tidak akan bermain poker dan mungkin dilihat sebagai parti melukut di tepian gantang, tetapi jangan diremehkan peranan Amanah mahupun setiap parti yang ada. Sebaliknya, dengan keadaan politik hari ini, sikap kerjasama dan toleransi dituntut bagi meneruskan legasi kemenangan tersebut.
Baik semasa di zaman PH 1.0 atau Kerajaan Perpaduan, Amanah sentiasa bersikap terbuka, menjadi pendamai dan yakin atas kesepakatan yang dibina. Oleh itu Amanah akan terus dilihat parti politik yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu usaha politik itu.-UTUSAN
CIKGU SYAZMIR HN
Penulis politik










