SAUDARA PENGARANG,
SEKOLAH Kebangsaan (SK) Limau Purut, Kuala Lipis, Pahang dibina pada 1950. Kini, sekolah berkenaan memiliki hampir 100 orang murid terdiri kaum Melayu dan Orang Asli dari Penempatan Orang Asli Kampug Tementong.
Malangnya sekolah ini tiada kantin seperti sekolah lain. Kantin yang ada telah diubahsuai dari sangkar burung untuk mata pelajaran Alam dan Manusia yang telah dimansuhkan. Di situlah tempat guru-guru menjamu selera selama ini.
Pengusaha kantin terpaksa memasak dan menyediakan makanan dalam keadaan tidak selesa. Pinggan mangkuk yang diletakkan di luar sering dirosakkan kucing dan kera.
Kantin ini juga dimakan anai-anai. Kantin ini sudah beberapa kali diselenggara dan dicat semula namun tidak berubah seperti asalnya. Hasrat untuk mendapatkan sebuah kantin yang selesa seperti sekolah lain telah banyak kali disuarakan tetapi gagal.
Pada 2020, bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah datang untuk melihat dan mengadakan perbincangan bagi pembinaan sebuah kantin yang baharu.
Di mana silapnya hasrat tersebut ditinggal begitu saja? Mungkin tiada tindakan susulan dari pihak yang bertanggungjawab di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meneruskan usaha tersebut.
Diharapkan Kementerian Pendidikan dapat membina segera sebuah kantin yang baharu di SK Limau Purut untuk memberi keseronokkan dan keselesaan warga sekolah.-UTUSAN
WAK SEGAN
Pahang










