SAUDARA PENGARANG,
GERAKAN mendesak kerajaan segera mengharamkan rokok elektronik atau vape ekoran penggunaan semakin meluas dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan remaja.
Kerajaan perlu menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar dengan kadar segera kerana terbaharu Flavour mushroom menyebabkan pelajar yang menghisap vape akan mengalami fenomena halusinasi.
Menurut carian di Google, Flavour mushroom, sejenis dadah baharu yang tersembunyi di sebalik penggunaan vape, semakin mendapat perhatian khususnya di kalangan remaja yang masih berada di bangku sekolah.
Trend ini amat membimbangkan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan bahan ini yang boleh membawa kesan sampingan yang serius.
Penularan penggunaan dadah yang bersembunyi di sebalik produk vape ini bukan sahaja menjejaskan masa depan generasi muda, malah menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam.
Terdapat 37 negara yang melarang jual beli vape. Negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura dan Thailand juga melarang sepenuhnya penjualan, penggunaan, dan pemilikan vape.
Kerajaan Malaysia seharusnya memberi perhatian yang lebih serius dan mempertimbangkan untuk menguatkuasakan pengawalan ketat atau larangan sepenuhnya terhadap vape.
Saya turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan baru-baru ini yang terdapat pelajar menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan vape. – UTUSAN
WENDY SUBRAMANIAM
Timbalan Setiausaha Agung GERAKAN










