SAUDARA PENGARANG,
SAYA selaku peminat tegar Kim Pan Gon tidak terkejut dengan tindakan bekas ketua jurulatih Skuad Harimau Malaya itu meninggalkan pasukan bola sepak kebangsaan ekoran dikatakan mendapat tawaran daripada Kelab Ulsan Hyundai Korea Selatan.
Berdasarkan pembacaan dan pemerhatian saya, Pan Gon sebenarnya terlalu kecewa dengan sikap dan pendirian acuh tak acuh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin. Beliau dikatakan tidak memahami denyut nadi bola sepak kebangsaan.
Disebabkan tiada kejohanan kompetitif untuk pasukan Harimau Malaya bermain menyebabkan pemain tidak menunjukkan mutu permainan yang diharap-harapkan sedangkan peluang untuk ke pusingan ketiga terbuka luas selepas memenangi dua perlawanan terawal dan berjaya mengutip enam mata berharga.
Oleh itu, pihak FAM terutamanya presidennya wajar sekali dipersalahkan atas kegagalan pasukan Harimau Malaya.
Pun begitu pada aksi dua persaingan awal kejohanan Piala Asia tahun lalu, Harimau Malaya bermain agak lemau dan tatkala peluang sudah tertutup rapat barulah mereka dapat memperagakan persembahan yang memukau.
Terbukti, aksi perlawanan persahabatan secara kompetitif sebelum kejohanan besar dianggap sangat penting untuk mengembalikan tahap kecergasan pemain, ditambah pada ketika itu kejohanan bola sepak domestik berehat panjang.
Ekoran kegagalan Hamidin membawa pasukan Harimau Malaya ke pusingan ketiga pra Piala Dunia, ia mungkin menjadi salah satu punca kenapa Pan Gon terpaksa membuat keputusan tergesa-gesa meletak jawatan sebelum tempoh kontraknya tamat.
Janganlah pula para peminat sukan bola sepak negara dijadikan mangsa oleh pihak tertentu kerana penat lelah mereka membanjiri stadium bagi menyokong pasukan negara akan dianggap tidak berbaloi.
Kesudahannya, ke manakah arah tuju bola sepak negara seandainya kita hanya melihat pi mai pi mai tang tu juga?-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang










