SAHABAT Alam Malaysia (SAM) berasa bimbang apabila satu lagi lubang benam muncul di kawasan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Ia sememangnya amat membimbangkan terutama berkaitan keselamatan orang ramai di kawasan itu termasuk di bahagian lain di Kuala Lumpur. Ini kerana mereka bukan sahaja terdedah kepada lubang benam dan tanah tenggelam, tetapi juga banjir kilat, tanah runtuh dan kegagalan cerun yang berpunca daripada kekerapan hujan.
Agak jelas, tindakan yang lebih komprehensif diperlukan dan langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi menjaga keselamatan awam, bukan sahaja di Jalan Masjid India tetapi semua kawasan berisiko tinggi di bandar untuk mengelakkan kemalangan pada masa depan.
Kami setuju Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan peta bawah tanah bandar raya dan mendedahkan kepada umum, langkah-langkah mitigasi serta keselamatan yang sedang diambil untuk mengelakkan lebih banyak tragedi daripada berlaku.
Kami juga meminta langkah-langkah seperti mewujudkan jawatankuasa antara agensi, maklumkan langkah-langkah yang sedang diambil, letakkan papan tanda dan halangan yang lebih baik di tempat yang berisiko tinggi, menjalankan langkah-langkah tindak balas kecemasan serta mengekalkan ketelusan dan komunikasi bagi semua penduduk juga orang awam di kawasan berisiko tinggi. Mereka perlu diberitahu mengenai langkah keselamatan dan tindak balas insiden.
Dalam jangka sederhana dan panjang, perlunya rancangan penyesuaian iklim yang betul oleh DBKL termasuk meningkatkan daya tahan infrastruktur, mengurangkan risiko dan kerentanan kepada banjir, meningkatkan kestabilan tanah serta menjalankan pendekatan berasaskan ekosistem yang bertindak sebagai span selain meminimumkan limpahan air ke dalam longkang mahupun sungai.
SAM sekali lagi mengulangi gesaan agar langkah lebih komprehensif diambil bagi membantu mencegah dan mengurangkan bencana pada masa depan.-UTUSAN
MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)










