SAUDARA PENGARANG,
KEMUNCULAN teknologi terbaharu melalui revolusi industri (IR4.0) yang merangkumi kecerdasan buatan (AI) terbukti mempunyai keupayaan merubah kehidupan manusia terutamanya dalam konteks sistem pengajaran dan pembelajaran (PnP) yang boleh membangunkan bakat digital pelajar di institut
pengajian tinggi (IPT).
Langkah kerajaan yang menggalakkan dan memperkenalkan penubuhan fakulti AI turut dilihat mampu menyokong usaha untuk mempercepatkan proses pembangunan penghasilan bakat digital pelajar yang bersifat lebih pintar dan kompetitif.
Terdapat pelbagai peranan teknologi baharu seperti teknologi AI yang boleh berfungsi dengan baik dan berkesan bagi memperkasakan pembangunan bakat digital pelajar.
Ini termasuklah penggunaan AI dalam konteks sistem maklumat pengurusan bersepadu (SMPB) sebagai hub maklumat digital (e-bakat digital hub) supaya pihak yang berminat dapat mendaftar diri dan membuat keputusan berasaskan bakat digital seperti perancangan, pembangunan aplikasi, pelaporan dan pemantauan dengan mudah serta memastikan pendekatan bakat digital berkenaan berasaskan kepada mutu mahupun nilai tambah yang berkesan.
Di samping itu, teknologi AI dan pengkomputeran awan juga boleh dikembangkan dalam aspek e-bakat digital hub agar segala perkhidmatan berbentuk semuanya adalah perkhidmatan (XaaS). Ini meliputi semua perkhidmatan dilaksanakan dalam talian atau berbentuk rantaian digital yang lebih dikenali sebagai e-khidmat. Perkhidmatan ini akan dilaksanakan secara pintar dan boleh diperoleh sama ada melalui pihak kedua ataupun melalui semua pihak.
Contohnya, dalam aspek pembangunan bakat digital, pihak pembekal perkhidmatan teknologi AI dapat mempromosikan e-khidmat kepada pelanggan seperti pelajar, pengajar, ibu bapa dan pihak-pihak tertentu dalam bentuk pendigitalan secara keseluruhannya.
Ini termasuklah perkhidmatan infrastruktur, e-kandungan dan makmal secara maya yang boleh dicapai oleh semua pihak secara inklusif tanpa mengira masa dan di mana mereka berada.
Dengan hal yang sedemikian, mereka juga dapat membantu industri tertentu dalam memacu mempertingkatkan ekonomi digital negara.
Ia juga dipercayai mampu berkembang dengan pesat di samping dapat menggalak dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pembangunan bakat digital kepada mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran yang perlu diatasi seperti isu privasi dan keselamatan serta penyelesaian konflik yang mungkin berlaku terhadap pihak yang berkepentingan.
Ini juga akan memastikan pendekatan pembangunan bakat digital dapat dilestarikan selaras dengan hasrat pendemokrasian ekonomi digital dalam konteks pemacuan ekonomi negara yang berasaskan kepada teknologi terbaharu supaya lebih kompetitif sama ada di peringkat domestik ataupun antarabangsa.-UTUSAN
RUSLI ABDULLAH
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM dan Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara










