SAUDARA PENGARANG,
KITA mestilah peka dengan cara pengendalian makanan. Jika kita tidak mengambil berat tentang isinya, natijahnya boleh berlaku pencemaran silang. Pencemaran silang dalam pengendalian makanan merujuk kepada pemindahan bakteria berbahaya atau bahan pencemar lain dari satu permukaan atau bahan makanan ke permukaan atau bahan makanan lain. Ini boleh berlaku melalui beberapa cara, termasuk pengendalian yang tidak betul, penggunaan peralatan tercemar dan penyimpanan makanan tidak sesuai.
Pencemaran silang merupakan antara isu penting yang boleh menjejaskan status halal makanan. Ia boleh berlaku apabila makanan halal bercampur secara langsung atau tidak langsung dengan bahan-bahan yang tidak halal, yang meragukan seterusnya mengubahstatusnya menjadi tidak halal.
Pendidikan dan latihan mengenai kebersihan dan prosedur halal kepada pekerja adalah langkah penting dalam menangani isu ini. Setiap syarikat pengusaha makanan sepatutnya lebih peka terhadap isu ini. Pencemaran silang bukan sahaja menjejaskan status halal makanan tetapi juga berpotensi menyebabkan pembaziran makanan.
Makanan halal yang tercemar biasanya tidak boleh dipulihkan dan perlu dibuang. Ini menyebabkan kerugian ekonomi yang besar, terutama kepada industri makanan yang berasaskan halal.
Dari segi undang-undang dan peraturan, banyak negara menguatkuasakan peraturan ketat mengenai status halal makanan. Di Malaysia, sebagai contoh, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan penting dalam memastikan standard halal dipatuhi oleh pengusaha industri makanan.
Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini boleh menyebabkan pengusaha makanan dikenakan denda atau tindakan undang-undang, selain menjejaskan reputasi perniagaan serta sijil halal mereka akan ditarik.
Teknologi boleh digunakan untuk mengurangkan risiko pencemaran silang. Alat pengesan halal, seperti kit ujian dan teknologi pengesan boleh digunakan untuk memantau serta memastikan makanan yang diproses dan dijual mematuhi piawaian halal.
Aplikasi digital yang membantu dalam pengesanan sumber bahan mentah dan rantaian bekalan juga boleh meningkatkan ketelusan serta kebolehpercayaan dalam industri makanan halal.
Kerjasama antara pengeluar, pengendali makanan dan pihak berkuasa adalah penting untuk menangani isu pencemaran silang. Pengeluar perlu memastikan mereka mengikut amalan terbaik dalam pengeluaran dan pengendalian makanan halal.
Pihak berkuasa pula perlu menjalankan pemeriksaan berkala serta memberikan sokongan dalam bentuk pendidikan dan latihan kepada pengeluar mahupun pengendali makanan. Kesedaran pengguna juga memainkan peranan penting dalam menangani isu pencemaran silang.
Pengguna yang peka terhadap isu halal dan pencemaran silang boleh membuat pilihan yang lebih bijak dengan menuntut standard yang lebih tinggi daripada pengeluar makanan. Ini seterusnya boleh mendorong industri makanan untuk meningkatkan amalan serta prosedur bagi memenuhi permintaan pasaran.
Langkah-langkah pencegahan seperti penggunaan peralatan khusus, penyimpanan yang betul, amalan pengendalian yang bersih, penggunaan teknologi serta kerjasama antara pelbagai pihak adalah penting untuk memastikan makanan halal kekal halal dan selamat untuk dimakan.
Dengan pendekatan yang menyeluruh dan disiplin yang ketat, risiko pencemaran silang dapat diminimumkan, memastikan integriti status halal makanan terpelihara, pembaziran dapat dielakkan dan menjamin keyakinan pengguna terhadap makanan halal di pasaran.-UTUSAN
FATIMAH ZAKIAH SHAHARUDDIN
Pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah










