Media sosial berperanan membangun peribadi

Media sosial berperanan membangun peribadi

MEDIA sosial perlu digunakan secara hemat dan tanpa menyalahgunakan platform tersebut untuk tujuan yang tidak wajar serta melanggar undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMAJUAN sains dan teknologi telah membawa perubahan yang sangat besar dalam semua aspek kehidupan manusia. Teknologi juga merubah cara manusia berhubung.

Meltwater.com melaporkan pada tahun ini, Malaysia merekodkan 28.68 juta pengguna media sosial. Sementara Statista.com pula pada 4 Jun lalu mendedahkan, sehingga suku ketiga 2023, rakyat Malaysia menghabiskan masa selama dua jam 48 minit (purata sehari) menggunakan media sosial, yang mana menunjukkan sedikit kenaikan dari tahun sebelumnya iaitu 2 jam 47 minit. Kesemua data ini menunjukkan dengan jelas betapa besarnya pengaruh media sosial dalam kehidupan. Ia seolah-olah sebahagian dari kehidupan yang tidak mungkin dapat dipisahkan.

Akhir-akhir ini, banyak hantaran video yang tidak sewajarnya disajikan kepada umum tular. Isu sebegini mesti dibendung untuk memastikan rakyat menggunakan teknologi secara berhemah dan menghalang penularan elemen yang boleh memberi kesan terhadap keperibadian.

Usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membendung penyebaran hantaran-hantaran sebegini dari semasa ke semasa seharusnya dipuji. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab, SKMM komited untuk meningkatkan literasi digital rakyat dengan memberi kesedaran terhadap penggunaan media sosial yang sihat dan tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk tujuan yang tidak wajar serta melanggar undang-undang.

Penggunaan media sosial yang sejajar dengan syariat juga berkait rapat dengan pembangunan peribadi. Pengguna media sosial mestilah mempamerkan tingkah laku yang baik dan pada masa sama boleh mempengaruhi pengguna yang lain untuk sama-sama menjadi pengguna yang berkeperibadian baik juga. Antara tingkah laku yang baik termasuklah peka dengan sensitiviti masyarakat berbilang agama serta budaya, menghormati perbezaan pendapat dan nilai dalam membincangkan sesuatu isu selain beradab setiap kali membuat hantaran atau meninggalkan komen di media sosial.

Menyedari sifat media sosial yang berpengaruh, ia menjadi medium terbaik untuk memulakan sesuatu aliran yang positif dan bukan sebaliknya. Hantaran yang boleh memberi pengajaran, pelajaran, ibrah, tazkirah, panduan, bimbingan, inspirasi dan motivasi ke arah kebaikan akan menyokong pembangunan peribadi yang sihat sangat dialu-alukan.

Manakala hantaran yang membuka aib, memfitnah, mengutuk, menghina dan menjelikkan akan memberi kesan buruk bukan hanya kepada keperibadian seseorang, tetapi juga pemikiran, kepercayaan, persepsi, bahkan keseluruhan elemen pembentukan diri.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SUERAYA CHE HARON
Jabatan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN